Tidak dinafikan, kanak-kanak paling cepat dapat belajar dan menguasai pelbagai bahasa semasa mereka masih kecil jika diberi peluang serta mendapat pendedahan dengan persekitaran yang berbeza.
Seperti seorang budak lelaki berbangsa Cina yang fasih berbahasa Tamil sehingga jika kita menutup mata, mesti akan menyangka bahawa seorang kanak-kanak India sedang bercakap.

Pengguna TikTok @kartik_suresh, berkongsi video yang mempamerkan dirinya dan budak lelaki comel bernama Kai Kai, yang merupakan anak jirannya sedang membuat Lassi Mangga.
Tetapi apa yang mengejutkan ialah Kai Kai bercakap dalam bahasa Tamil sepanjang masa dan dia sangat fasih!

Dalam video itu, ketika Kartik sedang memotong mangga untuk membuat minuman Lassi, si kecil yang comel memberitahunya untuk menambah epal dan anggur supaya Lassi Mangga mereka akan menjadi lebih manis.
“Saya rasa ia akan menjadi lebih manis bila abang gabungkan anggur dan epal. Amma, kita ada epal tak?” tanya Kai Kai dalam bahasa Tamil, merujuk kepada ibu Kartik seperti ibunya sendiri.

Ibu Kartik boleh didengari di latar belakang, menjawab, “Kita tiada epal.”
Kai Kai kemudiannya dengan gembira berbual dalam bahasa Tamil yang fasih bersama Kartik ketika mereka membuat Lassi Mangga, sambil memberikan komennya dan berjenaka.

Hubungan Kai Kai dengan keluarga Kartik memang sangat rapat dan manja memandangkan ibu Kartik telah mengasuh Kai Kai sejak dia masih bayi lagi.
Memang sangat terharu melihat keakraban dan kasih sayang Kai Kai yang sangat bijak lagi comel menghiburkan hati keluarga keduanya.