Seorang anak muda berusia 20 tahun bangga menjadi pekerja dalam sektor pembersihan untuk membantu keluarganya.
Pemuda ini tidak berasa segan atau malu untuk mendedahkan pekerjaannya sebagai pemungut sampah, sebaliknya amat berbangga kerana dapat menyara keluarga dengan kemampuan sendiri malahan dapat membiayai adik-adiknya untuk meneruskan persekolahan.

“Saya tidak kisah bergelumang dengan bau busuk, dan tiada apa yang hendak dimalukan dengan pekerjaan ini,” kata Wan Othman Wan Mohd Nor Hasyim kepada mStar.
Bekerja di Kuantan, Pahang bersama syarikat Alam Flora, Wan Othman sentiasa bersemangat dengan pekerjaan ini. Dari semasa ke semasa, anak muda ini akan merakam cara mengitar semula sampah dan memuat naik videonya di platform TikTok.
Bagi mengurangkan beban keluarga, Wan Othman memilih untuk berhenti sekolah dan bekerja sebagai pelayan restoran seawal usia 14 tahun dan mengikut bapanya yang bekerja sebagai pemandu trak tunda. Sehinggalah pada usia 18 tahun, Wan Othman bertukar kerja sebagai pemungut sampah, dan telah melakukan pekerjaan itu selama dua tahun.

Katanya, mungkin ramai yang beranggapan pekerjaan sebagai pengutip sampah adalah pekerjaan peringkat rendah dan kotor, namun dia amat berpuas hati dengan pekerjaan itu sekarang kerana dapat menjana pendapatan untuk keluarganya.
“Saya tidak habis sekolah, tiada PMR mahupun SPM. Nak cari kerja susah sebab kebanyakan majikan mahukan kelulusan pendidikan,” kata Wan Othman.
“Tapi saya gembira lakukan pekerjaan ini. Tidak rasa pun hendak cari kerja lain buat masa ini. Sedar-sedar sudah dua tahun saya bekerja sebagai pemungut sampah,” tambahnya.

Wan Othman turut mendedahkan hasratnya untuk membuat keluarganya hidup selesa dan adik-adiknya dapat menyambung pelajaran. Sementara itu kakaknya juga memilih untuk berhenti sekolah di Tingkatan 4 dan kini bekerja di sebuah pasar raya. Bagi mengurangkan beban keluarga, dua beradik itu lebih suka meninggalkan peluang yang lebih baik kepada adik-adik mereka.
“Saya sanggup berusaha keras untuk menambah pendapatan keluarga. Saya mahu bekerja dahulu dan mahu lihat adik-adik habis belajar. Biarlah mereka bersekolah dan sambung cita-cita abang dan kakak mereka,” kata anak lelaki sulung lima beradik ini.

Wan Othman tidak menyangka video TikToknya akan menjadi begitu popular dengan lebih 620,000 tontonan sambil berkata, “Saya hanya mahu berkongsi kerja saya sebagai pemungut sampah. Jika boleh saya mahu memberi inspirasi kepada masyarakat, dengan melakukan pekerjaan dan perkara yang baik.”
Pemuda gigih ini turut berpesan, “Usahlah memilih pekerjaan.. Berat macam mana pun pekerjaan itu, bekerjalah dengan ikhlas, asalkan ada hasil dan yang penting ia satu pekerjaan dengan titik peluh yang halal.”