Benarlah kata pepatah ‘kehilangan haiwan peliharaan seperti kehilangan ahli keluarga’ sendiri.
Pengguna TikTok popular @at_bie, yang terkenal kerana mempunyai seekor tikus belanda peliharaan comel dan lucu bernama Kalbar, berasa amat sedih baru-baru ini setelah haiwan kesayangan itu pergi buat selama-lamanya ketika berada di atas bahunya.
Sebelum ini, @at_bie, atau nama sebenar Fatin Farhana Ismail, sentiasa berkongsi petua tentang cara menjaga tikus belanda kesayangannya sehingga mempunyai hampir setengah juta pengikut di TikTok dan platform media sosial lain.
Fatin juga telah memuat naik video dirinya berinteraksi dengan Kalbar dan tikus belanda lain yang dimilikinya.
Video paling lucu dan menarik perhatian dengan lebih 58 juta tontonan ialah video yang dimuat naiknya pada tahun lalu, di mana Fatin dan Kalbar serentak melihat ke tingkap, selepas mereka mendengar bunyi mercun.
Bagaimanapun, ketika sesi ‘live’ di TikTok pada pagi 16 Ogos, Fatin yang memegang Kalbar di bahunya, tiba-tiba mendapati tikus itu tidak bergerak.
Selepas mengetahui Kalbar telah tiada, Fatin tiba-tiba hilang kata-kata dan menangis teresak-esak sambil memegang erat haiwan itu.
Terdahulu, semasa memegang Kalbar, Fatin berkongsi bahawa tikus belanda peliharaannya tidak sihat dan sudah banyak kali dibawa ke doktor haiwan untuk mendapatkan rawatan.
Malangnya, peluang Kalbar untuk terus bertahan adalah tipis dan ajalnya tiba pada 16 Ogos lalu di pangkuan Fatin.
“Rehatlah di sana anakku sayang, terima kasih teman mak selama hampir dua tahun, mak sayang Kalbar dunia akhirat, jumpa mak di sana anak kesayangan mak,” tulis Fatin di TikTok yang amat menyentuh hati.
Semoga Fatin bertabah dengan kehilangan Kalbar.