Pada mulanya semua murid bersorak riang gembira apabila mendapat kotak makanan disangka mengandungi ayam goreng McDonald’s, namun sebaik dibuka, rupa-rupanya di dalamnya berisi roti krim Gardenia berserta air kotak Drinho.
Walaupun orang kata, rezeki jangan ditolak, tetapi reaksi kekecewaan mungkin dialami oleh murid-murid sebuah sekolah yang menyertai program anjuran jabatan pendidikan negeri.
Tidak dapat mengelak untuk berasa hampa apabila kanak-kanak ini diberikan kotak yang disangka mengandungi makanan segera terkenal McDonald’s.
Perkara itu diceritakan oleh seorang guru yang dikenali sebagai Abdul Muiez Mohammad Ruslee menerusi hantaran Facebook selepas diceritakan oleh seorang penjaga.
“Saya dihubungi oleh seorang penjaga yang mana anaknya terlibat dalam satu program peringkat negeri yang disyorkan oleh jabatan negeri xxx.
“Mula-mula pandang kotak, bukan main riang anak dan kawan-kawannya. Sekali buka, terus berubah muka. Begitulah harapan yang ‘dicapati’,” katanya dalam hantaran tersebut.
Guru tersebut turut berkongsi tangkap layar perbualan bersama penjaga berkenaan mengenai situasi yang berlaku.
“Tak boleh bayangkan jika ada salah seorang daripada kanak-kanak itu yang berharap itu adalah McD sebenar. Harap penganjur lebih prihatin, terima kasih.
“Anak cerita ada seorang budak tu tadi, berubah betul muka bila buka kotak tu, yang sebelum ini dia nampak sangat gembira. Jangan bagi harapan palsu kepada kanak-kanak.
“Harap penganjur ambil iktibar. Sebak Paksu bila anak cerita pasal kawan dia tadi,” kata penjaga itu berdasarkan mesej WhatsApp yang dihantar kepada Abdul Muiez.
Perkongsian tersebut mendapat maklum balas kalangan netizen yang terdiri daripada orang ramai, malah guru itu juga menghantar mesej kepada mereka yang berkenaan.
“Saya dah mesej PIC seperti yang ada dalam surat jabatan. Tapi hanya ‘bluetick’,” kata Abdul Muiez.
Sementara itu, pengguna media sosial menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan mereka telah memberi harapan palsu kepada murid-murid berkenaan.
“Tak baik dia bagi harapan palsu dekat budak, cukuplah dewasa saja yang terperdaya dengan harapan palsu manusia..”
“Tak baik buat budak-budak macam ni. Lagi-lagi kotak tu bertulis ayam goreng. Budak-budak memang ‘excited’ dengan ayam goreng.”
“Tengok kotak ayam tu, macam bukan kotak McD. Macam tukang ‘sponsor’ tu tempah kotak sendiri.”
Bayangkan betapa kecewanya hati seorang kanak-kanak yang berharap untuk menikmati ayam goreng McD.
Diharap adalah sesiapa yang dapat belanja mereka semua ini dengan ayam goreng McD sebenar, setelah hati terguris dengan pemberian harapan palsu.