Menjadi pemandu pelancong mestilah memerlukan seseorang itu mempunyai kebolehan berkomunikasi dengan baik, peramah dan berperibadi menarik ketika mengiringi para pelancong dalam percutian mereka.
Biasanya seorang pemandu pelancong paling kurang akan boleh berbahasa Inggeris memandangkan ia adalah bahasa yang universal. Tetapi ramai juga dalam kalangan mereka yang boleh bertutur dalam pelbagai bahasa.

Seperti seorang pemandu pelancong yang bekerja di Sabah ini yang telah pergi lebih jauh dengan mempelajari bahasa baharu demi memastikan para pelanggannya dari Korea dapat memahaminya.
Syarikat pelancongan Sabah, @pakej_bajet_kundasang, menjadi tular di TikTok selepas mempamerkan kemahiran salah seorang pemandu pelancong mereka yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Korea.

Video itu pada mulanya memaparkan pemandu pelancong tersebut menyampaikan panduan dan langkah keselamatan dalam Bahasa Melayu kepada sekumpulan pelancong yang menaiki bot menuju ke Pulau Manukan untuk aktiviti parasailing.

Tanpa menyangka, dia kemudian beralih ke kiri kepada beberapa penumpang di atas bot dan mula mengulangi arahan yang sama untuk mereka dalam bahasa Korea.
Semasa dia bercakap dengan mereka, video itu memfokus kepada beberapa pelancong Korea yang tersenyum dan mengangguk tanda faham arahan yang diberikan sebagai jawapan mereka.

Inisiatif memberi panduan keselamatan dengan terjemahan arahan untuk pelanggan Koreanya itu telah mendapat perhatian dan pujian netizen.
Rata-rata netizen berasa terhibur dengan gaya bersahaja pemandu pelancong tersebut bercakap Korea, walaupun ia ditutur dengan lenggok dan slang Sabah pekat.

Ramai yang memuji pemandu pelancong ini sanggup mempelajari bahasa asing bagi memudahkan urusan pelancong dalam percutian mereka.
Sudah pasti para pelancong asing akan berasa selesa dan gembira jika orang tempatan dapat memahami dan boleh bertutur dengan baik dalam bahasa mereka.
Tonton video di sini.