JOHOR BAHRU: Empat buah kedai di Terminal Bas dan Pasar Awam Larkin Sentral, Larkin, musnah terbakar dalam kejadian pagi ini.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Suleiman, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.50 pagi, 23 Julai 2023.

Seramai 27 pegawai dan anggota dari BBP Larkin yang dibantu BBP Tebrau berserta lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Kebakaran menjejaskan empat premis perniagaan melibatkan kedai menjual bahan bacaan, bahan kosmetik dan bahan herba tradisional.

“Kesemua kedai yang berukuran 25 meter persegi itu musnah antara 10 dan 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa yang dilaporkan dalam kebakaran.
Larkin Sentral menempatkan terminal bas dan pasar awam serta premis perniagaan, terletak di tengah bandar raya Johor Bahru.

Mohd Faiz berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 8.25 pagi namun operasi lanjut masih diteruskan.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.