Seorang pemuda mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM30,000 apabila wang tunai berjumlah lebih RM60,000 yang diletakkan di atas but keretanya, terjatuh dan berciciran di atas Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Kampung Lak Lok, Jertih, Terengganu.
Wan Ibrahim Wan Leh, 24 tahun, terlupa untuk meletakkan beg kain berisi wang tunai tersebut yang berada di atas but Honda Civic ke dalam kereta itu, sebelum bergerak dari rumah ke sebuah bank bagi melakukan simpanan, lapor Bernama.
Menurut ibunya, Che Safiah Abdullah, anaknya itu kini mengalami kemurungan dengan sentiasa berkurung di dalam bilik apatah lagi wang itu dikumpul selama empat tahun hasil bekerja sebagai tukang gunting.

“Lebih menyedihkan Wan Ibrahim, wang itu untuk membeli kereta sendiri sebab kereta yang digunakan sekarang milik kakaknya dan dia mahu jelaskan hutang dan upah haji arwah bapa kandung dan bapa tirinya,” kata Che Safiah.
Bercerita lanjut, Che Safiah berkata anaknya yang masih bujang itu ingin membersihkan bahagian dalam kereta terlebih dahulu sehingga terlupa beg berisi duit itu masih berada di atas but kereta.
Wan Ibrahim hanya menyedari perkara itu sebaik sampai di bandar Jertih kira-kira 10 minit kemudian, sebelum berpatah balik ke tempat kejadian berhampiran persimpangan U di Kampung Lak Lok.
“Setiba di situ beberapa orang awam yang membantu memungut wang yang berterabur di atas jalan raya, menyerahkan kembali wang itu kepada anak saya berjumlah kira-kira RM30,000.

“Namun ada individu yang tidak bertanggungjawab dipercayai mengambil wang itu. Anak saya kemudian pergi membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut dan kami berharap agar mana-mana individu yang mengambil baki wang itu agar memulangkan kembali kepada keluarga saya,” katanya.
Che Safiah berkata, kejadian terbabit turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis kedai berhampiran.
Semoga Wan Ibrahim mendapat kesemua wangnya kembali.
Pilihan Editor: