Jangan hanya memasang khemah di hadapan rumah anda yang merupakan kawasan laluan awam. Sama ada ia bertujuan untuk mengadakan jamuan hari jadi, perhimpunan keluarga, kenduri kahwin, pengebumian dan sebagainya yang untuk tujuan peribadi, ia akan menyalahi undang-undang sekiranya anda tidak mendapatkan kebenaran jiran-jiran dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menurut Yang Dipertua Majlis Bandaraya Taiping Khairul Amir Mohamad Zubir kepada Oriental Daily, beliau mengingatkan mana-mana pemilik rumah yang bercadang untuk memasang khemah di laluan awam berhadapan rumah mereka dan kejiranan hendaklah memohon kepada Majlis Bandaraya Taiping bagi mengelakkan mereka melakukan satu kesalahan.

Beliau berkata menurut Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, adalah menjadi satu kesalahan untuk mendirikan dan menyelenggarakan sesuatu halangan di tempat awam seperti, tembok, pagar, susur, tiang atau apa-apa himpunan sesuatu benda, atau halangan lain.
Sama ada untuk majlis perkahwinan, pengebumian, jamuan istiadat atau tujuan lain, ia akan menyebabkan halangan kepada laluan awam. Bagaimanapun, Seksyen 46 (4) Akta yang sama, membenarkan pembinaan khemah untuk tujuan majlis, perayaan ataupun upacara tetapi orang awam perlu memohon permit kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diluluskan kerajaan.

Oleh itu, anda mesti memohon permit penutupan jalan daripada majlis perbandaran. Ini bagi mengelakkan ketidakharmonian di kejiranan. Menurut akta itu, sekiranya majlis perbandaran menerima aduan dan pemilik tidak memohon permit untuk mendirikan khemah atau binaan yang menghalang laluan, pihak majlis bandaran mempunyai kuasa untuk meminta pemilik kediaman mengalihkan binaan khemah dengan segera dan mengenakan denda RM500 untuk kesalahan pertama dan RM1,000 bagi kesalahan seterusnya.
Pihak Berkuasa Tempatan juga mempunyai kuasa untuk menyerbu majlis anda sekiranya mendapat aduan daripada jiran ataupun mereka yang tidak dapat melalui kawasan berkenaan, disebabkan halangan menyalahi undang-undang.
Perlu diingatkan laluan di hadapan rumah anda tetap menjadi milik kerajaan, walaupun anda boleh mengandaikan untuk berkata buat diri sendiri bahawa laluan itu menjadi hak milik anda setelah membeli rumah di taman perumahan.

Apa-apa pun, semua perkara boleh diselesaikan dengan perbincangan secara baik bersama jiran-jiran. Pastikan anda memaklumkan kepada jiran tentang penutupan jalan sekiranya telah merancang untuk mengadakan sebarang majlis.
Sebagai seorang jiran yang baik, sentiasa utamakan untuk menjaga ketenteraman awam dan parkir semua kenderaan dengan baik bagi menunjukkan sikap bertimbang rasa.
Pilihan Editor: