Rakaman dron oleh pengguna TikTok @arthur5493, menunjukkan kelibat ikan paus yang jarang dapat dilihat sedang berenang tenang di perairan Sabah.
Walaupun spesies ikan paus tidak dapat dipastikan dalam video berkenaan, ia berkemungkinan ikan paus spesies “Paus Bryde” yang muncul di Tip of Borneo, Simpang Mengayau di Kudat, Sabah.
Arthur5493 berasa bertuah kerana sempat merakam ikan paus berkenaan yang berenang tenang di pantai Kudat yang terkenal dengan keindahannya.
Pada 2018, ikan paus Bryde berukuran hampir 15 kaki seberat kira-kira 2.2 tan terselamat dan kembali ke lautan, dengan bantuan pasukan penyelamat dan penduduk kampung, setelah hampir lima jam terdampar di Kampung Indarason Laut, di Kudat.
Kemunculan ikan paus bukanlah sesuatu yang luar biasa di pantai Sabah, namun kebanyakannya melibatkan ikan paus yang mati atau ikan paus yang akhirnya mati tidak lama selepas dihanyutkan ke darat.
Satu kes sedemikian ialah ikan paus Bryde berukuran 20 meter yang terdampar di Kampung Lokurai, Pulau Gaya, pada 15 Disember 2006, dan akhirnya mati, walaupun pada awalnya ia berjaya diapungkan, lapor Daily Express Malaysia.
Ketua Menteri Sabah ketika itu Musa Aman, mengatur rangka ikan paus itu untuk dipamerkan di Muzium Sabah.
Menurut Wikipedia, Paus Bryde ialah antara spesies ikan paus yang paling kurang diketahui. Ikan paus ini banyak didapati di seluruh perairan tropika dan subtropika, dengan suatu spesies lebih kecil didapati di kawasan Pasifik Barat serta Asia Tenggara tropika.
Paus ini juga dikenali sebagai Luulumbo oleh orang Kadazan di Sabah, dan makanan Paus Bryde biasanya terdiri daripada ikan-ikan bilis dan ikan hering.
Tonton video di sini.
Pilihan Editor: