Seorang tukang jahit berkongsi pengalamannya baru-baru ini apabila menerima seorang pelanggan yang meminta supaya seluar sekolahnya dilabuhkan sekali gus mengundang sebak di hatinya.
“Semalam ada seorang budak lelaki datang kepada saya minta tolong labuhkan seluar sekolah dia. Seluar saiz 33 dan warnanya sudah lusuh,” kata tukang jahit Sharipah Sadiah Khalid dalam hantarannya di Facebook.
“Labuh asal 36 dan dia minta kalau dapat jadikan 37+ inci. Termenung kejap saya. Kenapa tak beli seluar baru?” tanyanya di dalam hati.
“Basi seluar itu ada 1 inci. Macam mana dia hendak lipat kelepet seluar tu nanti?” tanyanya lagi.
Katanya, pelajar itu memintanya untuk mengubah seluar berkenaan supaya apabila dipakai, ia tidak kelihatan singkat atau senteng selain sempat bertanya berapa upahnya sebelum beredar.
“Saya jahit tepi hujung kaki seluar dan saya lipat 2 hun saja. Bila ukur semula dapatlah labuh 37 inci,” katanya.
Sambil dalam hatinya sudah berniat tidak mahu mengenakan caj atau upah kepada budak itu. “Tak sanggup hendak minta upah. Saya sedekah,” jelasnya dalam hantaran itu.
Tukang jahit itu tidak menyangka ramai orang susah sekarang hendak membeli pakaian sekolah baru pun tidak mampu. Mana yang boleh dipakai lagi, pakai sahaja dahulu.
“Budak ni bukanlah pelajar cemerlang. Tapi dia masih hendak pergi sekolah lagi. Saya harap semoga dia cemerlang dalam apa sahaja bidang yang dia ceburi. Kadang-kadang bila kita rasa kita susah, rupanya ada lagi yang lebih susah,” katanya mengakhiri hantaran itu.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengguna Facebook turut berasa simpati dan memahami, sambil ada yang berkongsi pengalaman sama semasa mereka masih bersekolah.
“Dulu zaman sekolah abah akan belikan uniform sekolah yang lebih besar supaya dapat pakai beberapa tahun. Beg dan kasut juga pakai sehingga lusuh, pengorbanan keluarga anak ramai.”
“Saya belikan anak seluar di kedai bundle saja tahun lepas, bajet tak ada.”
“Seluar sekolah rendah pun dah berharga RM30, kalau ada empat orang anak, sudah berapa kos untuk seluar sahaja. Semoga Allah permudahkan urusan kita..”
“Memang ramai yang hidup sukar di luar sana. Bukan tidak berusaha, mungkin rezeki untuk berasa hidup selesa belum tiba.”
Pilihan Editor: