Seorang wanita yang dikesan mengandung ‘janin batu’ berusia sembilan tahun dilaporkan meninggal dunia baru-baru ini, dengan punca kematian akibat kekurangan zat makanan, lapor LBC UK.
Wanita itu yang merupakan seorang pelarian Afrika yang tiba di Amerika Syarikat dari Congo, telah dikejarkan ke hospital selepas mengalami kekejangan dan senak di bahagian perut.
Dia juga mengadu rasa menggelegak di bahagian usus selepas setiap kali makan yang sering dihadapinya.

Dr Waseem Sous dari SUNY Upstate Medical University, New York yang merawat wanita itu, melaporkan telah melakukan imbasan dan menemui janin mati yang sudah keras menyekat bahagian bawah perut dan menekan ususnya.
Bagaimanapun, dilaporkan wanita berkenaan menolak untuk dibedah kerana tidak sanggup untuk melaluinya. Malahan, mendakwa kesakitan yang ditanggung berpunca daripada ilmu hitam yang dihantar ‘seseorang’ ketika dia berada dalam kem pelarian di Tanzania.
Wanita itu memberi alasan, dia pernah berdepan dengan detik hitam ketika mengetahui zuriat yang dikandung mati dalam kandungan sejak sembilan tahun lalu.
Ketika itu, salah seorang petugas klinik kesihatan di kem pelarian yang didiaminya menuduhnya mengamalkan ilmu hitam dan mengambil dadah sehingga bayi dalam kandungan itu meninggal dunia.
Tuduhan berkenaan memberi kesan mendalam kepada dirinya yang mana sejak itu sukar untuk mempercayai rawatan perubatan moden lagi.
Dia kemudian memberitahu pegawai perubatan di AS yang dia tidak takut mati apabila diberi prognosis untuk menolak rawatan.
Difahamkan, wanita berkenaan meninggal dunia 14 bulan kemudian akibat kekurangan zat yang teruk. Janin mati itu didapati menghalang ususnya daripada berfungsi dengan baik dan menyerap nutrien penting.
Kes itu turut menarik perhatian kumpulan profesional perubatan di Amerika Syarikat yang membincangkan isu ketidakpercayaan kepada perubatan moden. Mereka juga menyarankan satu model penjagaan kesihatan untuk pelarian perlu digubal bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.

Selain itu, mereka juga meminta doktor supaya memberi perhatian dan mengkaji lebih lanjut berkenaan fenomena janin mati dalam kandungan (lithopedion) dan kehamilan ektopik.
Laporan Journal of The Royal Society of Medicine pada 1996 mendapati hanya 290 kes lithopedion pernah didokumenkan setakat ini.
Pada tahun 2013 di Colombia, janin berusia 40 tahun pernah ditemui dalam rahim seorang wanita warga emas. Ia hanya diketahui selepas wanita berusia 82 tahun itu mendapatkan pemeriksaan kesihatan berkenaan masalah sakit perut yang dialaminya.
Ketika itu, doktor yang merawatnya mengesan sesuatu yang tidak normal pada perut wanita itu dan awalnya mengesyaki ia mungkin masalah batu karang.
Pilihan Editor: