Satu video yang memaparkan insiden sebuah kereta tergantung di sebuah bangunan menjadi tular di media sosial pada 12 Mac lalu.
Kejadian dilaporkan berlaku di tempat meletak kenderaan tertutup di sebuah pangsapuri di Desa Jaya, Gombak kira-kira jam 7.30 malam.

Dalam video itu, kelihatan sebuah kereta berwarna hitam tergantung di bangunan pangsapuri, dengan separuh badan kereta berada di ruang parkir manakala separuh lagi tergantung di luar bangunan dalam keadaan berbahaya.
Kereta itu melanggar dinding di hadapannya yang telah menyebabkan serpihan konkrit terkena beberapa motosikal yang diparkir di tingkat bawah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir mengesahkan insiden itu dalam satu kenyataan.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun yang memandu Nissan Sentra di kawasan letak kenderaan pangsapuri terbabit.

“Pemandu terbabit gagal memberhentikan keretanya kerana pedal minyak telah tersangkut pada karpet alas kaki dan melanggar dinding tempat letak kenderaan itu,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, pemandu terbabit mengalami kecederaan ringan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59.
Pilihan Editor: