Setiap orang pasti mempunyai cita-cita dan impian walaupun kadangkala mereka melihat jalan yang agak mustahil mengejar impian itu gara-gara kemiskinan. Namun nasib setiap orang adalah berbeza. Yang miskin tidak semestinya terus miskin dan yang kaya tidak semestinya terus kaya.
Takdir dalam kehidupan seseorang juga telah ditentukan Maha Esa. Walaupun begitu usaha seseorang juga memainkan peranan penting dalam mencapai impian.
Seorang gadis bertuah bernama Sophy Ron tidak bersekolah pada mulanya sehinggalah beliau berusia sebelas tahun, yang ketika kecil bekerja dan tidur di tempat timbunan sampah di Phnom Penh, Cambodia bersama keluarganya.
Gadis cantik ini bekerja sebagai pengutip sampah seperti ibu bapanya dengan pendapatan AS$1 (RM4.46) sehari dan hanya dapat makan sisa makanan dalam timbunan sampah untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Sophy Ron yang bijak menangkap pembelajaran dengan pantas telah diselamatkan oleh salah seorang guru bernama Scott Neeson dari Cambodian Children’s Fund (CCF) iaitu sebuah organisasi pendidikan yang diasaskan di daerah termiskin di Cambodia.
Lebih mengagumkan apabila Sophy Ron telah diberikan biasiswa penuh tajaan CCF bagi melanjutkan pengajian asasi di Trinity College, University of Melbourne, Australia dan kini diterima masuk untuk menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Antarabangsa di University of Melbourne.
Pelajar cemerlang Sophy Ron diberikan penghormatan sebagai valedictorian untuk menyampaikan ucapannya di upacara penutup majlis graduasi Trinity College.
Pencapaiannya begitu membanggakan untuk seorang yang tidak mendapat pendidikan formal di sekolah sempurna sehinggalah di usia sebelas tahun.
Sophy Ron yang dahulunya menghabiskan masa 7 hari seminggu dengan mengutip dan mengasingkan sampah bagi mendapatkan wang membantu ibu bapanya kini telah berjaya mengejar cita-cita yang diidamkan.
Kisah Sophy Ron sesungguhnya menjadi sumber inspirasi buat kita semua. Tiada impian yang mustahil untuk dicapai asalkan kita percaya dengan kebolehan diri sendiri dan berusahalah bersungguh-sungguh tanpa pernah mengenal erti berputus asa.
Pujian dan penghargaan juga harus diberikan kepada organisasi dan pihak yang prihatin membantu golongan kurang bernasib baik dalam memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki kehidupan.
Bakat yang terbaik itu selalunya datang daripada golongan yang pernah mengenal erti kesusahan dan mereka yang berusaha gigih bermula dari bawah.
Tonton video di bawah: