Syarikat multinasional Amerika Syarikat, Johnson & Johnson (J&J) mengumumkan akan berhenti menjual bedak bayi berasaskan talkum secara global bermula tahun 2023, New York Times melaporkan.
Keputusan itu dibuat selepas lebih dua tahun Johnson & Johnson menamatkan penjualan produk tersebut di Amerika Syarikat dan Kanada susulan polemik saman daripada beribu-ribu pengguna bedak berkenaan.
“Sebagai sebahagian daripada penilaian portfolio di seluruh dunia, kami membuat keputusan komersial untuk beralih kepada portfolio bedak bayi berasaskan tepung jagung.

“Bedak bayi berasaskan jagung juga sudah dijual di kebanyakan negara di dunia,” demikian menurut kenyataan Johnson & Johnson.
Pada tahun 2020, syarikat itu mengumumkan akan menghentikan penjualan bedak bayi berasaskan talkum di Amerika Syarikat dan Kanada kerana permintaan menurun akibat peningkatan kes saman.
Syarikat itu berdepan kira-kira 38,000 saman daripada pengguna yang mendakwa produk talkumnya menyebabkan kanser kerana mengandungi bahan karsinogen iaitu asbestos.

Johnson & Johnson menafikan dakwaan itu dengan berkata, ujian saintifik dan kelulusan kawal selia selama beberapa dekad menunjukkan talkumnya selamat dan bebas daripada asbestos.
Syarikat itu menamatkan operasi anak syarikatnya, LTL Management pada Oktober tahun lalu berikutan lambakan saman yang menjadikan perniagaan tersebut muflis sekali gus menyebabkan tuntutan yang masih belum didengari di mahkamah tergendala.
Sebelum pemfailan kebankrapan, LTL Management menanggung kos AS$3.5 bilion (RM15.5 bilion) dalam bentuk keputusan mahkamah dan penyelesaian di luar mahkamah. Ini termasuk ganti rugi lebih AS$2 bilion (RM8 bilion) yang diberikan kepada 22 wanita dalam satu tuntutan saman berkumpulan.