“Saya mahu membina piramid saya,” itu yang diungkapkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman Al Saud yang melancarkan rancangan baru projek pembangunan bercita-cita tinggi dikenali Mirror Line.
Baginda merancang membelanjakan AS$1 trilion (RM4.45 trilion) bagi membina dua bangunan pencakar langit terbesar dan tertinggi di dunia diperbuat daripada kaca cermin setinggi 487.6 meter, yang berdiri selari antara satu sama lain sepanjang 170 kilometer dan mampu memuatkan 5 juta orang, lapor WSJ dan New York Post.

Pada bulan Januari tahun lalu, Putera Mahkota Arab Saudi itu telah mengumumkan kerajaan Arab Saudi akan membina Mirror Line yang menjadi sebahagian daripada bandar futuristik NEOM.
Bangunan itu, yang terbentang ke arah timur akan merentasi dari Teluk Aqaba, melalui banjaran gunung, dan pantai memanjang ke ‘aerotropolis’ padang pasir yang sebelum ini tidak boleh didiami.
Bandar futuristik itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti stadium bola sepak, kereta api berkelajuan tinggi dan pelbagai kemudahan moden lain yang seperti tidak tercapai dengan realisasi akal fikiran.

“Projek Mirror Line dilihat merupakan revolusi peradaban yang mengutamakan manusia,” dakwa Putera Mohammed.
Putera Mohammed sebelum ini menyatakan hasrat untuk menyelesaikan projek tersebut pada tahun 2030, namun pasukan jurutera menyatakan projek mega bercita-cita tinggi itu akan mengambil masa selama 50 tahun untuk disiapkan.

Bangunan mega ini terlalu panjang sehingga ia akan didirikan di atas struktur keras untuk mengambil kira kelengkungan bumi dan juga mempunyai laluan kereta api berkelajuan tinggi di bawahnya, lapor WSJ.
Mengikut jangkaan, mereka akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti dron penghantaran, pelayan robot, helikopter elektrik tulen, dan lain-lain untuk menjadikan kehidupan manusia yang mendiaminya penuh dengan rasa futuristik.