Pusat promosi kebudayaan China, Institut Confucius, yang dituduh sebagai cabang propaganda untuk Parti Komunis China (PKC), sedang dijenamakan semula dan dibuka semula di Amerika Syarikat, media negara itu melaporkan.
Sebanyak 104 daripada 118 Institut Confucius di Amerika Syarikat telah ditutup pada minggu lalu dan empat lagi sedang dalam proses penutupan, lapor Voice of America (VOA) yang memetik laporan National Association of Scholars.
Daripada jumlah ini, sekurang-kurangnya 28 telah menggantikan Institut Confucius mereka dengan program yang sama, dengan sekurang-kurangnya 58 telah mengekalkan hubungan rapat dengan bekas rakan kongsi Institut Confucius mereka, VOA memetik laporan itu.

Perry Link, profesor pengajian bahasa Cina di University of California Riverside, memberitahu VOA Mandarin, beliau terkejut pada mulanya dengan berapa banyak Institut Confucius telah ditutup di Amerika Syarikat.
“Saya tidak menyangka kadar penutupan sebegitu tinggi. Kedua, mereka masih wujud menggunakan cara lain dengan nama lain. Saya rasa ini sudah dijangka. Cuma saya tidak sangka ia akan berlaku secepat ini,” katanya.
Institut Confucius ialah perkongsian pendidikan awam antara kolej dan universiti di China serta kolej dan universiti di negara lain.
Institusi pengajian Cina kontroversi dibiayai oleh kerajaan China sebelum ini, didakwa sebagai cabang propaganda untuk Parti Komunis China (PKC).
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penutupan Institut Confucius di beberapa negara semakin berkembang ekoran organisasi ini dianggap sebagai mesin pemasaran ideologi komunis China.
Terdahulu pada bulan Februari, beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, Jerman, dan Belanda, mengetatkan pemerhatian dan tekanan ke atas Institut Confucius dan aktiviti lain yang berkaitan kerana sifat meragukan organisasi dari China.
Laporan “China’s Influence Actions” yang dikeluarkan oleh sebuah institut ketenteraan, di bawah Kementerian Pertahanan Perancis, menunjukkan kerajaan China telah mempromosikan taktik “United Front” di luar negara dan mempromosikan ideologinya melalui Institut Confucius.
“United Front” ialah strategi politik PKC yang melibatkan rangkaian kumpulan dan individu penting yang dipengaruhi atau dikawal oleh PKC dan digunakan untuk membangunkan kepentingannya.
Pada tahun 2020, Jabatan Negara telah menetapkan Institut Confucius sebagai misi asing Republik Rakyat China kerana sifat organisasi itu yang dikawal dan diarahkan oleh negara.
Negara asing yang ingin menubuhkan organisasi di Amerika Syarikat yang direka bentuk sebagai misi asing wajib menyerahkan laporan pembiayaan, kakitangan, kurikulum dan aktiviti mereka kepada kerajaan.
Sejak 2004, kerajaan China telah menaja Institut Confucius di kolej dan universiti di seluruh dunia, yang menyediakan guru, buku teks dan dana operasi sebagai jalinan kerjasama pendidikan dan perkongsian teknologi.

Di Malaysia, Institut Confucius ditempatkan di Universiti Malaya, SEGi University, Universiti Malaysia Pahang, University College of Technology Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah, juga satu-satunya Kelas Confucius di Sekolah Menengah Pay Fong di Melaka.
Sehingga Disember 2019, kerajaan China telah menubuhkan 550 Institut Confucius dan lebih daripada 1,000 Kelas Confucius di sekolah rendah dan sekolah menengah di 162 negara atau wilayah di seluruh dunia. Sehinggalah pada ketika sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan China, dikenali Hanban telah menyelia semua Institut Confucius.
Berikutan kritikan yang meluas, kerajaan China telah menyusun semula Institut Confucius di bawah nama organisasi baharu, Yayasan Pendidikan Antarabangsa China.