Kes pertama penyakit cacar dikenali ‘Monkeypox’ atau cacar monyet dilaporkan telah dikesan di tiga negara Eropah iaitu Perancis, Jerman dan Belgium pada Jumaat lalu, 20 Mei.
Menurut pihak berkuasa kesihatan di Perancis, penyakit cacar ini dikesan daripada seorang pemuda berusia 29 tahun dari wilayah Ile-de-Perancis.
Laporan lain dari Institut Mikrobiologi Angkatan Tentera Jerman pula mengesahkan jangkitan itu menyebabkan pesakit mengalami luka pada kulit.

Di Belgium, Ahli Mikrobiologi Emmanuel Andre mengesahkan dua kes di negara tersebut melibatkan seorang lelaki dari wilayah Flemish Brabant.
Susulan peningkatan jumlah kes di beberapa negara Eropah, agensi kesihatan Jerman menggesa kepada orang ramai yang pulang dari Afrika Barat terutamanya yang melakukan hubungan seksual untuk segera berjumpa doktor jika melihat kelainan pada kulit.
Penyakit ini jarang berlaku dan biasanya tidak membawa kepada maut namun ia sering terjadi apabila seseorang mengalami gejala demam, sakit otot, bengkak kelenjar limfa, menggigil, keletihan dan ruam kulit seperti penyakit cacar air pada tangan dan muka.
Cacar monyet boleh berjangkit melalui sentuhan dengan luka pada kulit, titisan daripada orang yang sudah dijangkiti serta melalui perkongsian tuala dan tempat tidur.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sedang meneliti isu ini selepas berlaku beberapa kes di United Kingdom yang menular dalam satu komuniti hubungan seksual.
Penyakit Monkeypox telah menular ke beberapa negara seperti di Itali, Portugal, Sepanyol dan Sweden serta di Amerika Syarikat dan Kanada. Kes ini dipercayai menular dengan cepat dari negara Afrika Tengah dan Barat.
Menurut WHO, Monkeypox atau cacar monyet biasanya akan hilang selepas dua hingga empat minggu.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: