Masalah monyet liar yang berkeliaran terutama di kawasan perumahan bukan suatu isu baru. Sebelum ini banyak kejadian-kejadian berkaitan dengan monyet liar berlaku. Apa yang lebih membimbangkan kehadiran mereka bukan sahaja merosakkan harta benda malah boleh membahayakan nyawa orang awam.
Sebelum ini kita pernah dikejutkan dengan berita di mana penduduk di sebuah kampung di Jempol, Negeri Sembilan berdepan masalah apabila kediaman mereka sering diganggu monyet liar sehingga merosakkan barangan di rumah. Menurut orang kampung, monyet-monyet tersebut sering berkumpul di bumbung rumah dan ada yang lebih berani, mereka masuk ke rumah penduduk dan merosakkan harta benda.
Selain itu, pernah juga berlaku apabila seekor monyet telah menculik seekor anak anjing milik penduduk di sebuah kawasan perumahan di Selangor. Menurut salah seorang penduduk, kawasan perumahan itu memang sering dimasuki oleh monyet untuk menculik kucing dan anjing peliharaan penduduk. Ekoran kejadian itu, tular gambar seekor monyet yang sedang duduk di atas wayar bersama dengan seekor anak anjing yang diculiknya.
Baru-baru ini sebuah lagi kejadian melibatkan monyet liar dilaporkan berlaku di Kuantan, Pahang. Seorang wanita menceritakan pengalaman dikejar monyet liar ketika berada di kawasan hotel di Teluk Chempedak. Apa yang lebih menyedihkan ketika dia tergesa-gesa untuk menyelamatkan diri, bayinya yang berada dalam ‘stroller’ turut terjatuh dan mukanya tersembam sehingga menyebabkan kecederaan.
Walaupun banyak laporan dibuat dan pelbagai tindakan diambil namun untuk menghentikan monyet berkeliaran di kawasan perumahan bukannya mudah. Menurut perkongsian video yang telah tular baru-baru ini di Facebook, dua orang pegawai PERHILITAN dirakam sedang menyamar menjadi ‘king kong’ untuk menghalau monyet liar yang berkeliaran di sebuah kawasan perumahan.
Video berdurasi 31 saat yang menunjukkan dua orang pegawai PERHILITAN siap dengan kostum ‘king kong’ sedang menghalau sekumpulan monyet liar yang berkeliaran di situ. Melihat sahaja ada dua ekor ‘king kong’ sedang turun dan bukit terus membuatkan monyet-monyet itu melarikan diri kerana ketakutan.
Sehingga ini video tersebut telah ditonton lebih daripada 50 ribu kali dan menerima lebih daripada 200 komen dari netizen di Facebook. Kebanyakan netizen memuji tindakan yang diambil oleh kedua-dua pegawai perhilitan tersebut yang sanggup berpanas memakai kostum tebal semata-mata untuk menghalau monyet liar.
Hal ini menunjukkan memang bukan mudah untuk menghalau monyet liar yang degil. Mereka tidak akan senang-senang meninggalkan sesuatu tempat atau kawasan perumahan. Dengan menyamar sebagai ‘king kong’ mungkin akan membuatkan monyet-monyet itu benar-benar takut untuk kembali semula berkeliaran di kawasan perumahan itu.
Sebelum ini perlbagai tindakan telah diambil pihak berwajib ekoran aduan orang awam terhadap gangguan haiwan liar seperti monyet dan kera. Jabatan PERHILITAN di Selangor misalnya telah menjalankan pelbagai langkah seperti pemantauan, pelupusan populasi secara terancang, tembak-halau dan tangkap-pindah. Langkah-langkah pengurusan yang diambil oleh pihak Jabatan mengambil kira pelbagai faktor keselamatan dan keperluan orang ramai.
Bagi anda yang menghadapi masalah seperti ini di kawasan kediaman anda, jangan berdiam diri dan terus hubungi pihak PERHILITAN di talian 03-9086 6800 (Ibu Pejabat) atau ‘hotline’ di talian 1-800-88-5151. Anda juga boleh menghubungi pejabat Jabatan Perhilitan Negeri yang berhampiran.
Aduan juga boleh disalurkan melalui surat aduan kepada Ketua Pengarah atau menggunakan sistem eAduan seperti yang terdapat di laman web rasmi organisasi tersebut.
Tonton video di sini.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: