Mungkin anda pernah menonton program realiti Asia’s Got Talent pada tahun 2015 di mana wakil dari Malaysia, kumpulan pemuzik tempatan yang memperkenalkan nama mereka, Sada Borneo telah berjaya memukau kesemua 4 juri dengan persembahan muzik etnik kreatif.
Kini, mungkin sebab ada antara kita yang berasa jemu dan bosan, persembahan mereka mula menjadi tular baru-baru ini di TikTok yang menunjukkan betapa berbakatnya lima orang anak muda dari Malaysia.

Sada Borneo membawa maksud ‘muzik dari Borneo’ memperkenalkan konsep muzik akustik etnik kreatif gabungan instrumen moden dan tradisional.
Apa yang menarik perhatian juri David Foster, Anggun, Melanie C dan Vanness Wu pada pusingan saringan pertama Sada Borneo membuat persembahan ialah mereka memperkenalkan alat muzik tradisional unik dari Borneo yang buat orang Barat kagum.

Mereka memainkan alunan merdu dan memukau daripada sape, bungkau, genderang dan seruling di samping bunyi instrumen unik yang mengeluarkan bunyi katak, burung, guruh dan hujan atau air mengalir.

Bunyi muzik yang magis membawa penonton berada ke alam lain seolah-olah dikelilingi alam semula jadi.

Sebaik sahaja tamat persembahan, kumpulan Sada Borneo berjaya mendapat tepukan gemuruh daripada penonton dan juri berdiri Vanness Wu.

Pada mulanya, gabungan muzik moden dan tradisional akhirnya berjaya memukau penonton, tetapi kemudian telah dikritik oleh David Foster pada pusingan ketiga.

Pada pusingan pertama, David Foster ada menasihati Sada Borneo yang beliau tidak menyukai instrumen moden seperti gitar bass elektrik diselitkan bersama instrumen tradisional yang menyebabkan persembahan akan berubah menjadi biasa dan tidak lagi unik.

“Pada persembahan seterusnya mereka masih menyelitkan alat muzik moden menyebabkan persembahan menjadi bosan, kerana elemen tradisional dan keunikan muzik juga kebudayaan yang mahu ditonjolkan telah hilang,” jelas David Foster ketika diminta mengulas mengapa beliau menekan butang ‘X’ menandakan yang beliau tidak menyukai persembahan itu.

Tetapi David mengakui Sada Borneo memang berbakat besar dan mampu pergi lebih jauh sekiranya keunikan muzik gabungan instrumen tradisional dapat dikekalkan, dengan persembahan bersama gubahan lagu perlu menjadi kreatif menggunakan elemen tradisional dan kebudayaan tempatan bagi memberi impak kepada penonton.

Memang mengagumkan apabila mereka memperkenalkan bunyi-bunyi yang unik itu untuk diketengahkan ke mata dunia, asal kurangkan bunyi instrumen moden yang semua orang sudah biasa mendengar.
Betullah orang Barat tidak mahu mendengar bunyi barat, jadi ketengahkan bunyi tradisional yang lain daripada yang lain serta tersendiri menjadi gubahan melodi indah. Baru betul menjadi muzik etnik kreatif yang mendamaikan dan yang terpenting melodi unik itu datang dari negara sendiri.

Apapun, walaupun sudah 7 tahun berlalu ketika Sada Borneo tersingkir di pusingan ketiga Asia’s Got Talent, lima anak muda ini masih tetap membanggakan kerana membawa nama Malaysia ke mata dunia. Syabas diucapkan.
Tonton video di sini.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: