Bukan mudah untuk melalui fasa mengandung lebih-lebih lagi pada waktu bersalin hampir tiba. Bermacam situasi boleh berlaku yang boleh membahayakan nyawa ibu dan anak. Jadi, mereka yang mempunyai tanda untuk bersalin dinasihatkan agar terus ke hospital.
Namun, lain pula yang terjadi di Pulau Pinang apabila seorang wanita terpaksa melahirkan bayinya di dalam kereta gara-gara tidak sempat sampai ke hospital semula.
Status yang dimuat naik di Facebook oleh PenangKu Viral telah menceritakan bagaimana keadaan tersebut boleh berlaku. Melalui status tersebut diceritakan bahawa wanita tersebut telah pergi ke sebuah hospital kerajaan selepas mempunyai tanda-tanda bersalin pada pukul 11.00 pagi.
Walau bagaimanapun, dia diminta pulang ke rumah pada pukul 3.45 petang kerana diberitahu masa bersalin belum tiba kerana bukaan ketika itu hanya 2cm.
Wanita tersebut kemudian merayu untuk terus berada di wad kerana rumahnya terletak di Sungai Ara, Bayan Lepas, yang agak jauh dari hospital.
Rayuannya tidak dipertimbangkan jadi dia terpaksa pulang ke rumah dan selepas mengharungi kesesakan trafik selama sejam mereka akhirnya sampai di rumah pada pukul 5.15 petang.
Walau bagaimanapun, pada pukul 7.00 malam, dia mengalami turun darah yang banyak dan terpaksa bergegas ke hospital itu semula yang akan mengambil masa 50 minit hingga 1 jam 20 minit jika diikutkan pada aplikasi Waze kerana ketika itu berada pada waktu puncak.
Wanita tersebut akhirnya telah melahirkan bayinya di dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke hospital sebelum suaminya membawanya ke hospital swasta terdekat.