Menabung sememangnya merupakan amalan murni yang bakal memanfaatkan kehidupan individu di kemudian hari. Bak kata pepatah, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.
Itulah yang dilakukan oleh seorang wanita ini yang bertindak mengumpul wang ataupun syiling yang dijumpainya ketika membasuh pakaian.
Kisah itu diceritakan oleh seorang pengguna di Twitter, @WZullnaidi yang juga merupakan suaminya.
“Setiap kali dia terjumpa baki wang di dalam saku mahupun baju saya, dia akan memasukkannya ke dalam tabung”.
Setelah setahun menabung, mereka memecahkan tabung bagi mengetahui jumlahnya. Sungguh tidak disangka apabila amaunnya berjumlah RM1,424 (tidak termasuk syiling).
“Tipsnya mudah. Beli tabung yang murah dan tidak boleh dibuka. Letak di tepi mesin basuh”, tulisnya di Twitter.
“Sebelum membasuh seluar dan baju suami, seluk ke dalam poket. Baca Bismillah, insyaAllah jumlah duit baki yang suami tinggal ada”.
Tambahnya, tabungan itu juga lebih elok dimaklumkan kepada suami dengan harapan niat itu mendapat sokongan.
“Jadi bila suami tiba tiba rajin, dia akan pergi masukkan duit baki beli barang atau baki bayar tol”. Masukkan juga apa-apa wang yang dijumpai di rumah ke dalam tabung.
@WZullnaidi/Twitter
Jika ada duit lebih juga, masukkan ke dalam tabung. “Jangan dok gatal-gatal nak simpan dalam poket balik”, tambahnya.
Cukup setahun maka barulah tabung itu dipecahkan dan dikira jumlahnya. Terpulanglah kepada hasrat masing-masing sama ada mahu memasukkan ia ke dalam bank atau digunakan.
Menurut Wan Zullnaidi, isterinya mahu mendermakan 10% daripada wang tabungan itu kepada masjid.