BURHANPUR- Sebagai tanda cintanya, seorang ahli perniagaan, Anand Prakash Chouksey, di India telah membina sebuah replika Taj Mahal buat isterinya.
Menurut sejarah Taj Mahal sebenar, “monumen cinta” itu telah dibina atas arahan Maharaja Mughal Shah Jahan untuk menempatkan makam isteri kesayangannya, Mumtaz Mahal, pada abad ke-17.
Isteri Chouksey dikatakan turut membantu dalam melaksanakan projek tersebut. Dia bahkan membuat rundingan mengenai binaan tersebut dan kini ianya telah berhasil dibina dengan kira-kira satu pertiga daripada saiz asal Taj Mahal.
“Satu-satunya permintaan isteri saya adalah untuk bilik meditasi. Dia seorang wanita rohani,” kata ahli perniagaan berusia 52 tahun itu.
Taj Mahal asal adalah terletak di selatan Delhi, Agra manakala replika baharu itu terletak sejauh 800 kilometer (500 batu) di Burhanpur.
Taj Mahal pada mulanya mahu dibina di tebing Sungai Tapti, tempat Mumtaz meninggal dunia semasa melahirkan anaknya yang ke-14, namun struktur tanah di situ tidak sesuai. Akhirnya, Agra menjadi lokasi Taj Mahal dibina.
Untuk membina replika ini, mereka telah mengambil masa selama tiga tahun dan menelan belanja 15 juta rupee (sekitar 847,800,00). Selain itu, replika tersebut dibina dengan menggunakan batu marmar dari Makrana, iaitu batu yang sama digunakan untuk membina Taj Mahal sebenar.
Chouksey merancang untuk memasang bendera India di atas kubah utama dan menambah simbol agama paling popular di India pada keempat-empat menara yang mengelilingi rumah agamnya itu.
“Kami mahu menghantar mesej keamanan dan keharmonian agama. Terdapat banyak kebencian yang ada di sekeliling. Cinta menyelesaikan semua masalah dalam kehidupan dan Taj Mahal adalah simbol itu.” –AFP