Isu beg sekolah berat bukan lagi isu baru di negara ini. Sejak dahulu masalah ini sering mengundang kerisauan ibu bapa. Bayangkan setiap hari anak kecil mereka terpaksa membawa beg sekolah yang beratnya berkilo-kilogram ke sekolah.
Apa yang menjadi kebimbangan ramai ialah mengenai masalah kesihatan mereka. Ramai antara mereka yang masih kecil dan memiliki tubuh yang kecil. Tenaga mereka juga terbatas tetapi mahu atau tidak, mereka perlu memikul beg yang berat.
Tidak hanya itu, mereka juga perlu mengangkut beg yang berat naik turun bas sehingga ke kelas. Ada antara mereka yang kelasnya terletak di tingkat dua atau tiga, boleh dibayangkan betapa letihnya mereka?
Mungkin ada yang berkata kanak-kanak sekarang manja sehingga tidak boleh membawa beg yang berat. Ada juga yang mengatakan ibu bapa pula yang terlebih memanjakan anak mereka. Namun kini, isu tersebut sudah tidak lagi relevan. Mana tidaknya, jika perlu membawa 8 kilogram beg setiap hari ke sekolah pastinya ia adalah sesuatu yang sangat membebankan buat sesiapa pun.
Kepada pihak yang bertanggungjawab sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Isu lama ini nampaknya masih berlanjutan sehingga kini dan apa yang paling membimbangkan adalah masalah kesihatan anak-anak kita yang boleh terjejas akibat membawa ‘beban yang berat setiap hari.