Walaupun cendawan mudah didapati di pasar dan pasar raya, adalah menjadi kebanggaan buat warga Sweden untuk keluar ke dalam hutan dan mencarinya sendiri.
Dan apabila melakukannya, sudah pasti mereka akan menikmatinya, kerana mereka tahu cara menyedia dan menghidangkan nikmat alam semula jadi dengan sempurna.
Seorang wanita dari Thailand yang juga YouTuber dikenali ‘NokWorld’ mengikuti tradisi warga Sweden mencari cendawan liar ‘penny bun’ atau biasa digelar ‘Karl Johan Svamp’ di Sweden.
Tradisi memetik cendawan liar telah wujud selama beberapa ratus tahun di Sweden dan ia menjadi popular ketika Jean-Baptiste Jules Bernadotte dari Perancis dijemput ke Sweden pada tahun 1810 selepas dipilih sebagai pewaris takhta Sweden dengan nama Raja Karl XIV Johan.
Raja Karl Johan gemar mencari dan makan cendawan liar pelbagai spesies, yang mana dilihatnya terdapat dengan banyak hidup meliar di pelosok Sweden.
Raja Sweden ini kemudian mencadangkan kepada rakyat yang sedang mengalami kebuluran pada masa itu untuk mengutip dan makan cendawan sebagai alternatif daripada berlapar.
Aktiviti menikmati alam semula jadi dengan memetik cendawan liar di Sweden bermula ketika tiba musim luruh, bermula bulan Julai hingga September.
Cendawan ‘Karl Johan Svamp’ sempena nama Raja Karl XIV Johan kekal dengan banyaknya di Sweden. Pada hujung minggu di musim luruh anda akan melihat kereta diletakkan di pinggir hutan dan pemetik cendawan liar membongkok rendah mencarinya di bawah pokok pain dan celah-celah rumput, seperti mana YouTuber ‘NokWorld’ mencarinya dengan rasa penuh seronok.
Dia geram melihat cendawan liar ini tumbuh dengan banyaknya, dan mula memetiknya, yang mana kemudian menggunakan pisau untuk segera membersihkan ‘Karl Johan Svamp’ yang masih segar.
Walaupun orang Sweden memilih cendawan liar untuk kegunaan mereka sendiri, ‘Karl Johan Svamp’ terdapat dengan begitu banyak sehingga ratusan tan biasa dipetik untuk dieksport ke Perancis dan Itali.
Selain ‘Karl Johan Svamp’ sebagai cendawan liar yang biasa didapati, cendawan liar chanterelle emas dianggap sebagai Raja Segala Cendawan di Sweden kerana ia amat berharga seperti cendawan Truffle.
Dalam hal ini, warga Sweden amat berahsia untuk berkongsi lokasi pencarian cendawan emas chanterelle, yang dikatakan hanya terdapat di sekitar Norrland.
Orang Sweden biasa menambahkan cendawan liar yang dipetik sendiri di hutan untuk resipi telur dadar, pasta, atau kadang kala hanya digoreng begitu sahaja bersama mentega.
Sekiranya anda dijemput masuk ke rumah orang Sweden dan dijamu sama ada dengan hidangan beri atau cendawan, pastikan anda mengaguminya kerana ia biasa dipetik sendiri di alam semula jadi.
Lebih baik lagi, bawa beberapa yang anda pilih sendiri seperti yang dilakukan oleh ‘NokWorld’ ini sebagai hadiah untuk tuan rumah.
Tonton video di bawah.