Adakah warna merah pantai ini mengejutkan anda atau mungkin juga menakutkan apabila melihatnya seperti darah yang mengalir?
Itulah yang sering dialami oleh Pulau Hormuz di Iran terhadap reaksi orang ramai yang tidak mengetahui tentang misteri air laut berwarna merah darah di sini, dan tambah mengejutkan apabila seseorang itu melihatnya buat pertama kali.
Pulau Hormuz juga dikenali sebagai Pulau Pelangi adalah destinasi pelancongan menarik di Iran yang berada di laluan masuk Teluk Parsi, tidak pernah gagal untuk memberi inspirasi kepada semua walaupun anda hanya melihatnya dalam rakaman video.
Tular sebuah video sebelum ini yang menunjukkan air merah darah mengalir di atas pasir pantai yang berwarna hitam dan merah pekat. Seperti pemandangan alam semula jadi luar biasa yang jarang sekali dapat disaksikan.
Pengguna Instagram Elham Gholami berkongsi video ini yang menarik perhatian para warganet di Facebook dan Twitter.
Seorang pengguna Twitter Naveed Trumboo IRS kemudian menularkan video ini semula dan telah memperincikan punca di sebalik kejadian luar biasa air laut dan pantai berwarna merah darah itu.
Punca warna pantai di sini menjadi sebegini merah adalah disebabkan oleh kepekatan oksida besi yang tinggi dan pasir yang lebih gelap menyebabkan ombak laut menolak warna merahnya menjadi lebih pekat kemerahan.
Naveed Trumboo menulis warna merah di tanah pulau itu adalah kerana kehadiran ‘oksida merah’ yang digelar penduduk tempatan sebagai ‘gelack’.
Gelack adalah mineral yang sangat penting dan berharga buat penduduk tempatan bagi tujuan perindustrian di Iran, di mana mereka menggunakannya sebagai bahan dalam kosmetik, fabrik, seramik dan sebagai rempah dalam masakan, juga sebagai pewarna makanan untuk penghasilan roti yang dipanggil ‘Tomshi’.
Sejak perkongsian video ini yang menarik perhatian, ramai melahirkan rasa terkejut dan kehairanan, di samping memberi komen biasa tentang keindahan Pulau Hormuz yang menakjubkan, menjadi tarikan kehadiran para pelancong khususnya dari negara Timur Tengah.
Tonton video di sini.