26.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024
UtamaBerita UtamaKenderaan rasmi menteri persekutuan dinaik taraf kepada Toyota Vellfire berbanding Proton Perdana...

Kenderaan rasmi menteri persekutuan dinaik taraf kepada Toyota Vellfire berbanding Proton Perdana sebelumnya

Kenderaan rasmi untuk Menteri Kabinet Malaysia telah ditukar daripada Proton Perdana 2.4L kepada Toyota Vellfire 2.5L sejak April 2021, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mendedahkannya baru-baru ini.

Tengku Zafrul membuat pendedahan itu dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 2 November kepada anggota Parlimen (MP) Bayan Baru Sim Tze Tzin.

Sim bertanya kepada Menteri Kewangan berapakah perbelanjaan kerajaan untuk menyediakan kenderaan Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri sejak Mac 2020 hingga kini.

Facebook

Beliau juga bertanya berapa kos untuk menyewa Vellfire daripada syarikat konsesi Spanco dalam sebulan.

Dalam jawapan bertulis itu, Tengku Zafrul memberitahu sehingga September tahun ini, kerajaan telah membayar RM1.42 juta kepada syarikat konsesi itu.

“Kerajaan membayar pajakan bulanan sebanyak RM5,759.35 untuk (setiap) Toyota Vellfire. Kos pajakan bulanan terdiri daripada RM4,851.61 untuk kos sewaan bulanan dan RM907.74 untuk kos penyelenggaraan,” kata Menteri Kewangan.

Facebook

Selepas jawapan Tengku Zafrul, Sim melalui Facebook mempersoalkan perbelanjaan besar Perikatan Nasional (PN) ketika negara sedang berjuang dan bergelut dengan masalah ekonomi.

Dalam hantaran yang disiarkan pada 3 November, beliau berkata rakyat berpeluang menikmati pelbagai bantuan kewangan dalam Bajet 2021, seperti golongan muda akan menerima kredit e-dompet RM150 dan penjawat awam akan menerima bayaran RM700 secara one-off.

Jika difikirkan semula, ahli parlimen Bayan Baru itu berkata, menteri daripada PN, PAS, dan Barisan Nasional (BN) adalah yang paling banyak menerima ‘bantuan’.

“Mereka mendapat ‘bantuan kereta Vellfire’ sebanyak RM 5,759.35 sebulan. Tahniah,” sindir ahli Parlimen itu.

Sim, yang sealiran dengan PKR, turut memuat naik gambar kenyataan lama yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan berkata terdapat pihak yang mengkritik Pakatan Harapan (PH) apabila kerajaan pada ketika itu mahu mempertimbangkan untuk menukar kenderaan rasmi mereka.

“Sekarang mereka menikmati kemudahan ini tanpa rasa segan silu. Semua bantahan sebelum ini seolah-olah telah dicurahkan ke dalam Selat Melaka,” tambahnya, sebelum menyifatkan Najib sebagai pengkritik lantang PH mengenai kegagalan itu tetapi kini senyap mengenai isu berkenaan.

Gambar Hiasan / Twitter

Sementara itu, Pemuda PKR menegaskan perbelanjaan kenderaan Vellfire berjumlah 41 unit, tetapi Kabinet hanya mempunyai 32 menteri, menurut Malaysiakini.

“Jadi, siapa yang menggunakan baki sembilan kereta Vellfire? Adakah utusan khas peringkat menteri juga menikmati kemudahan yang sama?” tanya Setiausaha Pemuda PKR Syukri Razab.

Pada Disember 2019, ketika PH masih berkuasa, kerajaan terdahulu telah mempertimbangkan untuk beralih daripada Proton Perdana kepada Toyota Vellfire kerana kenderaan Proton Perdana ketika itu tidak lagi dalam pengeluaran.

Bagaimanapun, kerajaan PH kemudian memutuskan untuk menolak cadangan itu selepas syarikat yang dilantik mengesahkan terdapat Proton Perdana yang mencukupi untuk pegawai kerajaan, tambah Malaysiakini.

Gambar Hiasan / Twitter

Model Proton Perdana 2.4L 2018 berharga kira-kira RM138,000, sementara model Toyota Vellfire 2021 berharga kira-kira RM368,000.

Apabila Datuk Seri Najib diminta mengulas mengenai pendedahan Tengku Zafrul baru-baru ini, beliau berkata dirinya tidak harus dipersalahkan kerana tidak terlibat dalam perkara itu.

Beliau menolak kesalahan kepada pentadbiran Perdana Menteri ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mencadangkan Toyota Vellfire sebagai kenderaan rasmi dan pentadbiran Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah merealisasikan cadangan itu pada April 2021 ketika negara berada di bawah pemerintahan darurat dan Parlimen tidak bersidang.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI