Memelihara kucing sebagai haiwan peliharaan di rumah memerlukan penjagaan yang rapi. Hal ini kerana bulu kucing yang berguguran pasti akan kelihatan di mana-mana sahaja sama ada melekat di pakaian, makanan, sofa dan lain-lain.
Seorang warganet baru-baru ini telah melakukan sesuatu yang menakjubkan dengan mengumpul bulu kucing yang bersepah di rumahnya untuk menghasilkan sepasang selipar!
Tindakan individu ini memang bermanfaat memandangkan kita tidak boleh mengawal keguguran bulu kucing, jadi menghasilkan sesuatu daripada bulu kucing itu bukan sahaja dapat menambah kemahiran kraf tetapi juga menghasilkan sesuatu yang luar biasa.
Setelah selipar berbulu itu berjaya dihasilkan, individu ini telah meletakkan hasilnya di atas meja dan mula merakamkan reaksi si comel. Seperti yang kita tahu, kucing sememangnya mempunyai deria bau yang tajam. Jadi, sebaik sahaja melihat selipar tersebut, kucing ini terus menciumnya dan menyedari bau selipar itu seakan-akan bau dirinya sendiri!
Kucing ini kemudiannya termenung seketika seolah-olah sedang memikirkan banyak persoalan di fikirannya. Mungkin si comel ini tertanya-tanya motif tuannya sanggup berusaha keras mengumpul bulu-bulunya untuk menghasilkan selipar tersebut dan dari reaksi tersebut, si comel ini seperti tidak suka tindakan tuannya itu.
Melihat dari saiz selipar bulu itu, tidak dapat dibayangkan betapa banyaknya bulu yang telah gugur di rumah. Itu baru hasil daripada seekor kucing…