Prinsip kesederhanaan dalam menjalani kehidupan merupakan antara elemen penting bagi memastikan kesejahteraan hidup kita sebagai seorang manusia.
Itulah yang menjadi asas buat kehidupan seorang wanita dari Jepun yang dikenali sebagai Mido ini, di mana gaya hidupnya yang bersahaja ternyata memberikan inspirasi.
Mido bertugas sebagai seorang kerani dan masih belum berkahwin. Dia juga hanya tinggal bersendirian selama 10 tahun.
Sewaktu membesar, hidupnya tidaklah begitu senang. Oleh kerana itulah, pegangan hidup bersederhana itu menjadi amalannya kini.
Menetap di sebuah pangsapuri membuatkan Mido bebas mengembangkan idea dekorasinya dan dia sempat berpesan agar tidak tergesa-gesa membeli perabot jika tiada wang.
Padanya, cukup sekadar mendapatkan perabot lama di kedai terpakai yang masih dalam keadaan baik.
Ataupun mendapatkan perabot yang telah dibuang, seterusnya memperbaikinya semula agar ia kelihatan seperti baru.
Anda lihatlah hasil dekorasi kediaman Mido di bawah :
Mido juga memilih untuk menghabiskan masanya dengan menyediakan sendiri makanan. Ia ternyata lebih sihat, kebersihan juga terjamin!
Tambah Mido, tinggal bersendirian dan memasak sendiri makanannya membuatkan dia gembira kerana apa yang dimasak itu mengikut citarasanya sendiri.
Itulah saat paling berharga buat dirinya kerana dia tidak perlu keluar, bersesak dengan orang lain untuk membeli makanan.
Aspek ‘penyembuhan bersama’ antara manusia dan tumbuhan juga agak penting bagi Mido. Ini kerana masing-masing memerlukan antara satu sama lain untuk hidup.
Kita memerlukan oksigen daripada tumbuhan untuk bernafas, manakala tumbuhan juga memerlukan manusia untuk menjaganya.
Bagi mengisi masa lapang, wanita ini juga gemar mengait. Kadang kala, dia akan mengait mengikut bentuk haiwan untuk dijadikan mainan kucing.
Untuk aktiviti di luar pula, Mido suka mendaki gunung jika dirinya cuti dalam tempoh yang panjang. Padanya, aktiviti ini berkesan untuk menghilangkan kegelisahannya.
Hidup bersendirian kadang kala membuatkan Mido berasa kesunyian. Oleh itu, Mido menekankan tentang perancangan terhadap apa yang ingin dilakukan bagi mengatasi masalah itu.
“Anda memerlukan tabiat atau aktiviti yang banyak untuk mengatasi kesunyian atau kebosanan”, ujar Mido.
Peluang ini juga harus digunakan sebaiknya untuk membina disiplin diri selain mendidik kita untuk menghargai diri sendiri.