Platform Facebook, WhatsApp dan Instagram kembali pulih selepas mengalami gangguan hampir enam jam yang gagal diakses pengguna laman sosial tersebut.
Kalangan pengguna berdepan kesukaran mengakses ketiga platform laman sosial berkenaan sejak kira-kira jam 12 malam dalam apa yang disifatkan ‘DownDetector’ sebagai “masalah teknikal terbesar pernah berlaku”.
Pada kira-kira jam 6.30 pagi, rata-rata pengguna menyatakan telah berjaya mengakses semula ketiga-tiga aplikasi tersebut, namun penggunaannya masih tersekat-sekat.
Masalah berkenaan merupakan kali kedua pernah dialami oleh Facebook, WhatsApp dan Instagram selepas dituduh tidak menyekat kenyataan berbaur hasutan, kebencian dan berita palsu serta hanya mementingkan keuntungan.
Ketua Pegawai Teknologi Facebook, Mike Schroepfer dalam satu kenyataan di Twitter, “Saya memohon maaf kepada setiap perniagaan kecil mahupun besar, keluarga dan setiap individu yang bergantung kepada perkhidmatan kami.”
Mike Schroepfer menambah, syarikat memerlukan sedikit masa lagi bagi memulihkan keadaan dengan sepenuhnya.
Pakar sekuriti menyatakan gangguan tersebut mungkin disebabkan oleh masalah teknikal dalaman, namun tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat oleh pekerja sendiri.
Lebih 3.5 bilion penduduk dunia menggunakan Facebook dan aplikasinya untuk berkomunikasi dan menguruskan perniagaan.