Pepatah ada menyebut di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sesukar mana pun sesuatu tugasan atau pekerjaan, jika mahu diselesaikan pasti ada caranya. Mungkin pada pandangan orang ia adalah sesuatu yang mustahil tetapi jika kita terus berusaha keras pasti akan mendapat hasilnya.
Seorang penghantar makanan Foodpanda membuktikan bahawa dia boleh mencapai kejayaan dengan caranya sendiri. Percaya atau tidak, lelaki ini berjaya menyelesaikan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) selepas empat tahun berjuang.
Baru-baru ini, Mohd. Akmal Azhar, 36, telah berkongsi gambar disertasi doktoralnya yang menunjukkan bahawa dia berjaya menyelesaikan PhD di dalam bidang Teknologi Perubatan (Teknologi Farmaseutikal) di Universiti Pahang (UMP).
Status Facebook Akmal disertakan dengan kapsyen yang menyatakan betapa bersyukurnya dia setelah menamatkan pengajian PhDnya setelah hampir empat tahun belajar di UMP.
Tesis PhDnya bertajuk “Product Development And Evaluation of Probiotic Tablet From Locally Isolated Yeast Saccharomyces Boulardii For Stomach Acid Tolerance” dipercayai diserahkan ke universiti pada minggu lalu ketika dia memuat naik gambar tesisnya yang telah siap dijilid.
Menurut Akmal, dia menamatkan PhD dalam Teknologi Farmaseutikal sambil bekerja sebagai penghantar makanan sepenuh masa. Sebelum itu, dia bekerja sebagai pensyarah secara kontrak.
Jadi, untuk menampung hidup serta pengajian, dia memutuskan untuk bekerja sebagai penghantar makanan. Walaupun bukan mudah untuk bekerja sambil belajar namun dia bijak menyeimbangkan masa. Dia juga bersyukur kerana berjaya menyelesaikan kerja-kerja makmal sebelum wabak Covid-19 mula merebak. Pada waktu pagi, dia akan bekerja menghantar makanan dan pada sebelah petang pula dia akan menulis tesis.
Kejayaan Akmal bukan sahaja telah memberi inspirasi kepada orang ramai malah usaha kerasnya telah membuka mata ramai netizen yang membaca kisahnya. Apa yang dicapai bukanlah sesuatu yang mudah tetapi dia telah membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil untuk dicapai jika kita terus berusaha gigih.