Negara Jepun memang terkenal dengan pelbagai tarikan yang tidak dinafikan. Selain dikenali dengan kekayaan budaya, negara matahari terbit ini juga sangat terkenal dengan rekaan dalaman rumah yang minimalis.
Dengan menggabungkan gaya moden dan tradisional, anda pasti perasan bahawa kebanyakan rumah di Jepun tidak mempunyai begitu banyak kelengkapan rumah. Hal ini sekali gus membuatkan ruang rumah kelihatan luas meskipun ianya bersaiz kecil.

Seperti pasangan Jepun ini yang merupakan pengamal tegar idea minimalis untuk rumah mereka. Bagi mendapatkan suasana rumah yang selesa, pasangan ini telah melakukan renovasi dan hanya membeli keperluan asas untuk menghiasi rumah idaman mereka.

Sebagai contoh, rumah ini pada asalnya memiliki tiga buah bilik namun mereka memutuskan untuk hanya mengekalkan satu bilik tidur sahaja. Bilik pertama dijadikan sebagai bilik belajar manakala bilik kedua pula digunakan untuk meletakkan pakaian.
Di ruangan depan pintu pula, mereka meletakkan kabinet kasut di tepi dinding yang bukan sahaja berfungsi untuk menyimpan kasut tetapi juga boleh diletakkan peralatan untuk upacara sembahyang.
Pada bahagian ruang tamu pula, tingkap bersaiz besar digunakan bagi menggantikan pintu gelangsar sekali gus memberikan pencahayaan yang bagus pada seluruh rumah. Kebanyakan individu pasti mempunyai banyak perabot pada ruang tamu rumah namun bagi pasangan ini, cukuplah sekadar perkara yang perlu seperti televisyen, sofa dan meja kecil.
Memang menarik idea minimalis ini tetapi bukan semua orang mampu untuk melakukannya.