KUALA LUMPUR – Pelakon, pelawak dan ahli perniagaan, Shuib Sepahtu yang baru kehilangan isteri tercinta yang juga penyanyi terkenal negara iaitu Allahyarham Siti Sarah Raissuddin mengakui sukar untuk menguruskan keempat-empat anaknya yang masih kecil seorang diri.
Jelas Shuib, pelbagai perkara yang berlegar dalam fikiran beliau dan apa yang menjadi kebimbangan adalah bagaimana beliau mahu menguruskan bayi mereka, Ayash Affan yang baru dilahirkan pada Jumaat lalu.

“Tidak dinafikan, banyak perkara yang bermain dalam fikiran. Sebagai contoh, saya nak cari jubah untuk anak-anak pun kelam kabut hingga terpanggil nama pembantu rumah yang sudah meninggal dunia. Itu belum lagi soal Ayash. Saya baru terfikir bagaimana nak menguruskannya, hari ini.“.
Tambah Shuib lagi, “Ayash hanya bergantung dengan susu formula sejak dilahirkan. Perkara inilah yang membuatkan saya termenung sejenak bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini. Doktor menyarankan saya membekalkan susu daripada ibu susuan”.

Meskipun ramai rakan selebriti termasuk Syatilla Melvin ingin menawarkan diri untuk menjadi ibu susuan namun Shuib menjelaskan bahawa perkara itu harus diteliti secara mendalam kerana ianya membabitkan soal hukum agama. Menurut Shuib lagi, beliau teringat akan satu pesanan arwah isterinya yang meminta beliau untuk menjaga anak keempat itu.
“Arwah minta saya menguruskan Ayash buat susu, tukar lampin dan berjaga tengah malam. Saya terfikir arwah mesti bantu saya jika saya tidak boleh bangun. Namun sebenarnya, arwah memang nak saya jaga Ayash seorang diri apabila meninggalkan saya dan anak-anak. Jadi, saya akan berusaha mencari jalan penyelesaian. Saya akan merujuk kepada ustaz berhubung ibu susuan”.
Pada masa yang sama, pihak hospital juga memberi tempoh sebulan kepada Shuib sebelum membenarkan bayinya dibawa pulang ke rumah. Bayi berkenaan dikatakan berada dalam keadaan stabil dan negatif daripada wabak COVID-19. Difahamkan Shuib masih belum berpeluang untuk melihat muka bayi yang menjadi hadiah terakhir peninggalan arwah.