Sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2020, Jepun mengambil inisiatif dalam menampilkan satu penghormatan yang istimewa serta berlainan lagi unik buat seluruh negara peserta juga tidak terkecuali buat negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Jepun.
Mereka telah membuat kimono rekaan khas yang dikhususkan buat setiap negara di dunia melalui The Kimono Project, anjuran sebuah organisasi bukan keuntungan Jepun, Imagine One World. Dan apa yang menarik, kesemua kimono buatan tangan ini sungguh cantik.

Apa yang lebih membanggakan dan paling menonjol adalah kimono Malaysia, hasil rekaan oleh Takehana-Sensho, sementara obi kimono (selempang kimono) direka oleh Hattori Orimono Co., Ltd.
“Simbol kebangsaan, Menara Berkembar Petronas, dan jalur-jalur merah putih, bintang dan bulan yang dilukis pada bendera Malaysia dibawa dalam ukuran besar, dan bunga kebangsaan, bunga raya, dilukis oleh 40 pelajar dalam kelas ini. Batik tradisional yang berwarna-warni, dan dalam beberapa tahun terakhir, Malaysia berkembang pesat, telah direka cipta dengan jiwa muda,” kongsi Takehana-Sensho.

“Dengan memfokus kepada budaya Peranakan, corak chintz ditenun dengan tangan menggunakan dedaun emas asli,” tambah Hattori Orimono Co., Ltd, mengenai obi.

Menurut laporan The National, organisasi ini memerlukan masa enam tahun untuk menyelesaikan kesemua 213 kimono, kerana ia turut termasuk negara selain 205 negara yang mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebuah kimono yang dibuat untuk Korea Utara, sebelum mereka menarik diri dalam Olimpik Tokyo, dan kimono dibuat untuk negara yang membentuk Great Britain. Juga termasuk kimono untuk negara Niue dan Vatican City, bahkan menerima permintaan khas untuk kimono French Polinesia.
“Melalui kreativiti, kami telah menemui banyak pemandangan yang cantik, budaya dan kebanggaan yang indah dari setiap negara. Semasa kami belajar dengan baik mengenai sebuah negara, kami dapati bahawa ikatan kami dengan negara itu secara semula jadi telah dapat ditingkatkan,” kata jurucakap Kimono Project.

“Kami sentiasa mempercayai bahawa kimono adalah cara terbaik untuk menyatakan rasa hormat kami kepada setiap negara kerana ia direka dengan harapan kebahagiaan dan kemakmuran kepada mereka yang memakainya,” tambahnya.

“Kami berharap dunia akan mengiktiraf projek kami kerana walau betapa berbezanya agama, keadaan ekonomi atau politik, kecantikan dan keanggunan itu adalah kebahagiaan yang dapat kita rasai dan berkongsi bersama-sama. Dari sudut pandangan ini, kita dapat berganding bahu bersama setiap negara untuk mewujudkan keharmonian dan perpaduan,” kongsinya di Imagine One World Kimono Project.