Dapat melayakkan diri ke sukan Olimpik bukanlah sesuatu yang mudah. Hasil usaha keras dan rasa yang tidak pernah putus asa akhirnya membawa atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang bukan sahaja layak ke Olimpik Tokyo 2020 malah berjaya meraih tempat keempat pada acara akhir terjun papan anjal 3 meter.
Di sebalik kejayaannya ramai yang tidak tahu keperitan yang dilalui semasa menjalani latihan. Baru-baru ini tular sebuah status yang dimuat naik oleh atlet itu di laman Facebook miliknya yang menunjukkan kesukarannya semasa menjalani latihan beberapa tahun dahulu. Terdapat juga gambar yang dimuat naik bersama status yang dibuatnya pada tahun 2016 itu.
Jelas sekali latihan yang dilakukan adalah sesuatu yang sangat sukar. Bayangkan badannya perlu dipijak untuk dilenturkan oleh jurulatihnya. Pasti ada rasa sakit dan perit yang perlu dilalui untuk menjadi seorang atlet bertaraf dunia.
Untuk mencapai apa yang dicapai kini adalah sesuatu yang sangat sukar. Tangisannya selepas tamatnya acara yang disertainya bukan kerana kecewa atas kegagalannya meraih pingat untuk negara tetapi kerana dia bangga dengan dirinya atas apa yang telah dicapainya sehingga hari ini.
Tahniah Dhabitah dan terima kasih kerana membawa nama Malaysia di pentas dunia!