Biasalah apabila si pemilik sanggup berkorban apa sahaja demi kucing kesayangan, termasuk dikenakan hukuman yang menyebabkan dia kehilangan status dan faedah dalam program ganjaran ‘frequent flyer’ yang sudah mengumpulkan beribu batu jarak perjalanan dalam penerbangan.
Sebuah syarikat penerbangan dari Rusia, Aeroflot memutuskan untuk menghukum salah seorang penumpang setianya kerana dengan licik telah berjaya menyelinap masuk kucingnya yang berlebihan berat badan ke dalam penerbangan.
Mikhail Galin, 36 tahun kehilangan kira-kira 400,000 batu perjalanan sebagai pengembara kerap setelah dia berjaya memperdaya syarikat penerbangan itu untuk membawa kucingnya yang gemuk bernama Viktor ke dalam penerbangan dari Riga ke Moscow ke Vladivostok di Rusia.
Peraturan Aeroflot telah menetapkan haiwan peliharaan dengan berat melebihi 8 kilogram tidak dibenarkan masuk ke dalam kabin dan dia mesti ditempatkan ke dalam bahagian kargo bagasi.
Semasa cuba mendaftar masuk untuk penerbangan, Mikhail mendapat tahu yang berat Viktor adalah 10 kilogram, dan dia tidak akan dibenarkan masuk ke dalam kabin penumpang bersama pemilik.
Mikhail memutuskan untuk menunda penerbangannya pada keesokan hari dan berusaha mencari ‘kucing yang mirip benar dengan Viktor tetapi berat badannya lebih rendah bermaksud kuruslah’.
Mikhail berjaya menemui seekor kucing mirip Viktor tetapi dalam versi mini bernama Phoebe, dan mereka kembali ke lapangan terbang pada keesokan hari untuk menjayakan misi memperdaya kakitangan penerbangan untuk mendapatkan tiket dan terbang dengan jayanya ke Vladivostok.
Pemilik licik ini kembali ke lapangan terbang dengan dua kucing ‘sama yang berbeza’, yang mana sudah semestinya dia lulus ujian berat badan kucing itu untuk menaiki penerbangan Aeroflot.
Mikhail kemudian menukar kucing ‘mini-Viktor’ itu kepada pemilik asalnya dan menaiki pesawat dengan jayanya bersama ‘Big-Viktor’. Lega sudah kerana segala urusan berjalan dengan lancar.
Duo itu tiba di Vladivostok tanpa masalah, tetapi Mikhail sendiri yang kantoi mendedahkan taktik liciknya dengan menulis perjalanan itu dalam hantaran di Facebook, yang kemudian dikongsi ramai warganet termasuk syarikat penerbangan Aeroflot itu sendiri.
“Penerbangan berjalan lancar, walaupun Viktor tidak berapa selesa berada di udara. Dia terasa sakit dan tidak memahami apa yang sedang berlaku,” tulisnya.
“Misi menukar kucing gemuk Viktor dengan kucing miniatur Phoebe telah berjaya,” Mikhail mendedahkannya di Facebook lengkap dengan gambar-gambarnya sekali.
Aeroflot mula menjalankan siasatan termasuk mendapat bukti sahih kucing kurus bertukar dengan kucing gemuk di lapangan terbang menerusi rakaman CCTV.
Jadi, pihak mereka kemudian telah memutuskan untuk menggugurkan nama Mikhail Galin dalam program ganjaran ‘frequent flyer’ yang sering dilakukannya dan menarik balik semua 400,000 batu jarak perjalanan miliknya.
Maka ramailah warganet membuat jenaka mengenai kisah Viktor, sekali gus telah membuatkan si comel Viktor terus menjadi popular. Ada yang memberi komen Aeroflot sepatutnya memaafkan Mikhail dan menawarkannya untuk menghantar kucing gemuk itu ke gimnasium dengan siap membayar yuran keahliannya.
Sementara Mikhail pula tidak membantah hukuman itu dengan berkata, “Undang-undang memang keras, tetapi bukankah itu namanya undang-undang.”
Sambil menambah di masa hadapan yang dia akan ‘terbang dengan syarikat penerbangan yang lebih mudah dan sesuai buatnya dan Viktor’.