Oleh kerana setiap manusia dikurniakan akal fikiran, tidak boleh dinafikan mungkin ada yang boleh tercapai tahap pemikiran dan kreativiti seperti berada di luar galaksi, mendapat inspirasi daripada Richard Branson dan Elon Musk.
Dan apabila memikirkan yang sabut kelapa itu ada banyak kegunaan, seperti menjadi berus baju, penyental kotoran degil belakang periuk dan kuali zaman ‘rewang’, pembuang daki badan orang zaman dulu, maka tidak terfikir pula ia boleh jadi bahan ‘tahan lasak’ ketika penghantaran parcel zaman moden kini.
Kaitan pemikiran luar kotak dengan kegunaan sabut kelapa yang pelbagai, termasuk menjadi ‘bubble wrap’…
Seorang penjual yang menjual barangan di atas talian baru-baru ini mencuri perhatian warganet di media sosial apabila beliau mengirim barang yang dibeli pelanggan dalam cara pembungkusan yang lain daripada yang lain, iaitu dengan menggunakan sabut kelapa.
Cara dia membungkus barang itu memang sungguh kreatif dan berada di luar kotak pemikiran, dalam kalangan kita yang selalu berfikir biasa-biasa.
Hantaran di Facebook yang tular dengan gambar-gambar muat naik seorang pelanggan yang menggelikan hati, “Beli part kat Shopee.. Sekali sampai tengok dia punya packaging, betul punya IQ tinggi brader ni..”
Memang melucukan spontan tergelak melihat dia membungkus barang yang dijual menggunakan sabut kelapa galang ganti ‘bubble wrap’, yang majoriti orang memang tidak pernah terfikir.
Bergeliga betul otak dia, yang kalau kita fikirkan kembali masuk akal juga sebab terbukti sabut kelapa itu adalah penyerap hentakan semula jadi, selain ia juga tidak akan merosakkan alam sekitar dengan menambah longgokan plastik yang memberi mudarat kepada semua makhluk, sekali gus ‘seller’ ini telah berjaya menyelamatkan bumi daripada terus dirosakkan.
Selain barang yang dihantar tahan hentakan dan selamat, tiada siapa yang akan berminat hendak mencuri kelapa tua itu, jika ada…