Sama seperti kek, dekorasi biskut menggunakan aising juga adalah salah satu cabang seni dalam bidang makanan yang begitu mengagumkan.
Malah ia juga agak rumit memandangkan saiz biskut sememangnya jauh lebih kecil berbanding dekorasi yang dibuat pada kek.
Di Jepun, terdapat seorang cef, Kunika Uno yang handal menghasilkan seni-seni dekorasi pada biskut.
Ujar Kunika, dia semenjak kecil sangat meminati kisah-kisah dongeng melibatkan cinta antara putera dan puteri. Baginya, ia sangat indah dan romantis.
Namun apabila menginjak dewasa, Kunika mula sedar bahawa tiada kisah cinta dongeng sebegitu di alam realiti.
Tidak mahu terus membuang elemen kisah dongeng itu dalam hidupnya, Kunika memutuskan untuk ‘mencipta’ sendiri kisah dongeng itu menerusi biskut-biskutnya.
Cantik-cantik dekorasi biskut Kunika, bukan?
Tidak seperti rakan-rakannya yang melanjutkan pengajian ke menara gading, Kunika mengorak langkah untuk mencapai cita-citanya dengan memasuki Nippon Confectionary College.
Sebaik sahaja tamat belajar di sana, Kunika kemudian berhijrah ke Eropah dan menetap di sana selama dua tahun.
Pengalaman selama berada di sana membolehkannya memperluaskan idea, sekaligus turut menambah kreativitinya dalam menghasilkan dekorasi biskut yang unik.
Biskut yang dihasilkan Kunika bukan sahaja berkisarkan kisah dongeng, bahkan turut menyentuh elemen budaya, lokasi dan pelbagai lagi.
Ini biskut yang mewakili bandar Chefchaouen yang terletak di Barat Laut Maghribi, yang menghadap laut Aegean.
Ini pula biskut bertemakan corak Mandala – yang menjadi simbol alam semesta dalam kepercayaan Hindu dan Buddha.
Biskut berbentuk heksagonal dengan seni lukisan haiwan pun ada tau! Kreatif betul Kunika..
Yang ini pula rama-rama dan arnab..
Dek kerana kemahiran dan kreativiti yang dimiliki Kunika, pihak Disney turut memintanya menghasilkan biskut dengan dekorasi puteri Disney.
Akhirnya dapat juga Kunika mencapai impiannya. Bakat dan kebolehannya dalam menghasilkan seni pada biskut bersaiz kecil memerlukan tahap penelitian yang tinggi.
Syabas Kunika!