Jika di Malaysia, kita pernah melihat bagaimana orang kampung zaman dahulu bergotong-royong mengangkat rumah kampung secara tradisional dan memindahkannya ke satu lokasi lain, maka di Amerika Syarikat juga terdapat golongan yang mengamalkan cara bergotong-royong seperti itu.
Banyak perkara boleh dipelajari ketika melakukan kerja berpasukan, dan selalu amat menyenangkan apabila melihat orang berusaha untuk mencapai tujuan bersama.
Sekiranya anda dan rakan sepasukan berkongsi satu tujuan bersama dan memasangkannya dengan disiplin, hasilnya amat berkesan dan anda menjadi semakin cekap dalam mencapai matlamat.
80 lelaki Amish dalam satu rakaman video telah berjaya memindahkan sebuah rumah menurut cara tradisional dengan hanya menggunakan tangan dan kudrat mereka.
Kadang kala, memindahkan rumah anda dari satu tempat ke satu tempat lain adalah cara berpindah yang paling praktikal. Biasa kita melihat mesin berat digunakan untuk memindahkan keseluruhan rumah dan cara itu lebih mudah.
Tetapi memindah rumah dengan hanya menggunakan tangan semestinya cukup hebat, bukan?
Memindahkan rumah bermaksud mengangkat seluruh rumah lama dari tapak atau lokasi asal dan meletak atau memindahkannya ke lokasi lain yang baru.
80 lelaki Amish membawa seluruh rumah, mengangkatnya dari satu tempat ke tempat lain, sesuatu yang menjadi kebiasaan dalam gaya hidup mereka tetapi masyarakat moden kini jarang melihat.
Sedangkan jentera boleh melakukan pekerjaan itu, mengapa pula masyarakat Amish ini melakukannya menggunakan tulang empat kerat?
Bagi masyarakat Amish, dari Spartansburg, Pennsylvania di Amerika Syarikat, perkara ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia adalah cara hidup mereka yang telah menjadi kebiasaan.
Masyarakat Amish adalah sekumpulan penganut Kristian tradisional yang berkaitan dengan gereja Mennonite.
Masyarakat Amish terkenal dengan disiplin dan ketaatan mereka yang begitu tegas kepada Ordnung, atau perintah. Mereka juga terkenal dengan gaya hidup pilihan mereka yang menjauhi dunia moden.
Tuntutan atau peraturan golongan Amish adalah berbeza-berbeza dalam setiap komuniti, tetapi kebanyakan mereka tidak membenarkan penggunaan teknologi. Ini bermakna, dengan seboleh mungkin, masyarakat Amish perlu melakukan sesuatu mengikut cara lama seperti masyarakat zaman dahulu dengan tidak bergantung kepada teknologi seperti penggunaan apa sahaja jenis telefon, elektrik, televisyen, dan gajet berkomputer.
Masyarakat Amish percaya dengan mencintai dan berdamping dengan teknologi mungkin akan menyebabkan mereka mula hidup dalam kesombongan peribadi.
Rakaman video berdurasi kira-kira 6 minit ini memaparkan 80 lelaki mengangkat sebuah rumah ke tapak baru yang lain, dan banyak perkara boleh dihargai apabila melihatnya.
Bagaimana masyarakat Amish menghargai kerja berpasukan, dan ini menunjukkan betapa mereka menghargai nilai hidup dan kepentingan satu sama lain untuk sama-sama bekerjasama. Masing-masing memberikan yang terbaik untuk membantu memindahkan seluruh rumah itu.
Bermula saat 80 lelaki ini mengangkat sebuah rumah sehingga mereka berjaya memindahkannya secara perlahan-lahan ke lokasi baru tanpa menjejaskan strukturnya adalah sangat hebat.
Mereka juga menunggu arahan dan panduan ketua yang berada di luar, masing-masing sabar menunggu untuk bergerak sesuai dengan satu tujuan dan matlamat kerja berpasukan.
Rakaman video ini bukan sahaja menunjukkan kemampuan kumpulan orang ini untuk mengangkat keseluruhan rumah tetapi juga dedikasi dan disiplin mereka terhadap cara hidup dengan tegas.
Pilihan hidup untuk melakukan sesuatu dengan cara tradisional dan sudah menjadi kebiasaan tanpa pernah menghiraukan kemaraan teknologi yang semakin pesat, masyarakat Amish memelihara nilai dan ajaran agama, bahkan budaya mereka.
Tonton video di sini.