Antara haiwan reptilia paling digeruni sudah tentulah buaya selain ular. Haiwan pemangsa ini kalau buka mulutnya dan berbunyi, “Ngap!” boleh buat semua orang lari lintang-pukang.
Jadi, tabik hormatlah kepada semua abang dan kakak yang boleh bekerja di zoo dan taman haiwan yang menguruskan haiwan pemangsa, seperti abang pekerja taman buaya yang seorang ini.
Seorang lelaki bernama Rizal bekerja di Taman Buaya Melaka. Gelagat lucu dan selambanya menegur seekor buaya ketika dia sedang bekerja telah dirakam menerusi aplikasi TikTok lalu ia menjadi tular baru-baru ini.
Rizal kelihatan sedang membersihkan kandang buaya yang bernama Aris.
Aris ketika itu sedang ‘rilek’ dan kenyang sambil memerhatikan Rizal yang sedang bekerja menyapu sampah.
Maka timbul dalam hatinya hendak menyapa Rizal yang rajin dan mungkin boleh bergurau dengannya. Aris mula mendekati Rizal dan secara perlahan-lahan membuka mulutnya yang menggerunkan itu.
Macam seram sahaja tengok dekat-dekat macam itu, tetapi Rizal tak hairan pun dengan mulut besar Aris itu.
Bukan sahaja Rizal tidak takut dan gentar dengan si Aris, malahan buaya ini kena bebel lagi.
Sambil menyapu, Rizal marahkan Aris dengan bebelannya, “Jangan nak menyibuk, orang nak menyapu. Tak ada masa nak bergurau!”
Dan si buaya Aris macam faham sahaja, lalu dia terus terdiam.
Seterusnya, ketika Rizal berada lebih dekat dengan buaya itu untuk membersihkan kawasan dengan lebih bersih, dia diajak untuk bergurau sekali lagi dengan Aris mula membuka mulutnya yang luas.
Tetapi dengan selambanya Rizal marah-marah dan membebel tak habis, “Diam! Orang banyak kerja menyibuk je nak bergurau.”
Siapa yang gerun siapa dan siapa pula yang tersipu-sipu diam ni?
Tonton video di sini.