Jika dilihat melalui ekspresi, kucing sepertinya tidak mempunyai perasaan. Pernahkan anda tertanya-tanya sama ada kucing yang dibela sayangkan kita atau tidak?
Nampaknya anda tidak keseorangan kerana ia merupakan persoalan yang menghantui minda para pencinta kucing di luar sana.
Oleh itu, kami akan kongsikan 5 petanda bahawa kucing anda sememangnya sayangkan anda..
#1 Mengerdipkan mata
Jika kucing anda sentiasa memandang anda lalu mengerdipkan mata secara perlahan-lahan, mereka sebenarnya sedang menzahirkan rasa sayang terhadap anda.
Selain itu, ia menandakan bahawa mereka mempercayai kita, di mana kepercayaan merupakan asas terpenting dalam berkasih sayang.
#2 Menunggu kepulangan anda
Kucing yang dibela di dalam rumah semestinya hanya dapat menghabiskan masa seharian di rumah bukan?
Dan jika tidak dapat melihat anda di dalam rumah, maka mereka akan berasa sedikit cemas. Jadi jika mereka menunggu anda pulang, ini bermakna mereka sebenarnya sayang dan merindui anda.
#3 ‘Urutan’ istimewa
The Dodo/Twitter
Jika anda perasan, kucing akan menggerakkan kedua-dua kaki hadapannya tatkala sedang menyusu badan ibu mereka.
Ia sebenarnya bertindak dalam merangsang kalenjar susu untuk merembeskan lebih susu dan tabiat itu nampaknya turut dilakukan pada manusia.
Sekiranya kucing anda memberikan urutan sebegitu pada anda, ini bermakna anda dianggap sebagai ibu mereka dan mereka juga sangat menyayangi anda!
#4 Gemar mengekori
Kucing yang gemar mengikuti sahaja langkah anda juga bermakna bahawa mereka sukakan anda sebenarnya.
Pergerakan mereka nampaknya bergantung kepada langkah anda. Ia sebenarnya merupakan petanda bahawa mereka sangat menghargai anda.
#5 Memburu
Aktiviti merupakan sifat semula jadi kucing dan jika mereka membawa banyak hasil buruan untuk anda, itu tandanya bahawa mereka sayangkan anda.
‘Hadiah’ itu ditujukan khas buat anda kerana mereka ingin berkongsi hasil buruan itu bersama. Baiknya mereka, langsung tidak kedekut!