Pemberian tip merupakan amalan sosial masyarakat di Amerika Syarikat khususnya, di mana ia dilakukan secara sukarela mengikuti budi bicara pelanggan.
Ia kebiasaannya diberi apabila perkhidmatan terbaik diberikan kepada pelanggan. Baru-baru ini, seorang pelanggan seperti biasa telah memberikan tip buat staf restoran di New Hampshire.
Malah jumlah tip yang diberikan agak luar biasa iaitu sebanyak $16,000 (RM66,656). Beruntung nampaknya pekerja terbabit!
Difahamkan bahawa pelanggan itu telah ke Stumble Inn Bar and Grill di Londonderry dan memesan makanan berjumlah $37.93 (RM158) sahaja, termasuk cukai.
Pada mulanya, staf restoran itu tidak perasan jumlah tip sebesar itu diberikan. “Ia ada di penyata kad kredit. Mereka letakkan di sebelah mesin daftar tunai”.
Pelanggan itu mengingatkan sebanyak 3 kali, “Jangan berbelanja kesemuanya di satu tempat”, ujar pemilik restoran, Mike Zarella.
“Ya Tuhan, adakah kamu serius?”, soal pekerja apabila mula menyedari jumlah tip sebanyak itu diberikan. “Saya mahu kamu semua menerimanya, kalian kerja keras”.
nhstumbleinn/Instagram
Menurut Mike, dia beranggapan bahawa pelanggan itu hanya berniat mahu memberi $160 sahaja dan tersilap menambah angka 0 dibelakang.
“Tidak, jumlahnya $16,000”, kata pelanggan itu sebaik sahaja Mike bertanya. Pelanggan itu juga enggan dirinya dikenali.
Sama seperti restoran lain, Stumble Inn and Grill ditutup selama beberapa bulan gara-gara pandemik COVID-19 dan hanya beroperasi dengan secara pembungkusan bawa pulang.
Pemberian tip ini merupakan jumlah terbesar yang pernah diterima restoran terbabit selama mereka beroperasi sebelum ini.