Peguam jarang menulis atau berkongsi tentang kerjaya dan cabaran kes yang mereka lalui setiap hari disebabkan demi menjaga etika guaman dan juga kepentingan anak guam atau klien mereka.
Tetapi disebabkan seorang peguam ini telah berusaha keras untuk membantu anak guamnya dan hatinya pula agak mulia, maka kisahnya menjadi tular di Filipina, malahan mungkin di seluruh dunia.
Seorang peguam yang berkhidmat di Sorsogon City, Filipina dilaporkan menerima upah beberapa ekor ketam yang masih hidup, selepas klien yang diwakilinya memaklumkan tidak mampu membayar yuran guaman.
Peguam berhati mulia itu, Noel Allen Bose berkongsi gambar dirinya memegang ketam yang masih hidup dengan pakaian formalnya dan beg bimbit di tangan kiri ketika berada di hadapan mahkamah dan memuat naiknya di Facebook.
Noel Allen berkata selepas menyelesaikan perbicaraan kes anak guam berkenaan, beliau dimaklumkan yang dia tidak mempunyai wang untuk membayar yuran guaman dan bertanya sama ada khidmat guaman boleh dibayar dengan ketam yang telah ditangkap.
Noel Allen berkata tiada masalah dan beliau boleh menerima ketam hidup yang masih segar tersebut.
“Wang bukanlah segala-galanya. Saya amat berbangga dapat berkhidmat untuk rakyat di negara ini yang kebanyakannya dari golongan miskin. Terima kasih semua,” kata Noel Allen.
Noel Allen menambah dalam hantarannya di Facebook, “Hadiah ketam ini sememangnya mengenyangkan, tetapi reaksi positif anda semua terhadap status ini menjadikan hati saya lebih terharu.”