Sepasang suami isteri dari Jabalpur Madhya Pradesh, India telah meningkatkan tahap keselamatan di kebun mereka demi melindungi tanaman mangga bernilai tinggi dan paling mahal di dunia, spesies Miyazaki yang berasal dari Jepun.
Times of India melaporkan bahawa pasangan itu, Sankalp dan Rani Parihar, telah menempatkan sembilan ekor anjing dan tiga pengawal di kebun mereka untuk melindungi buah mangga itu yang kini sedang berbuah subur di empat pohon.
Pasangan ini telah menanam sebanyak 150 pokok, yang bermula dengan 50 pokok sebelum menambah 100 pokok lagi.
Sankalp Parihar berkata dia dan isterinya ditawarkan dengan anak pokok mangga spesies itu empat tahun lalu oleh seorang pengembara semasa mereka dalam perjalanan ke Chennai untuk mencari spesies kelapa jarang ditemui.
“Pada mulanya, saya tidak menyedari baka mangga itu. Tetapi setelah pokok berbuah, kami menyedari bahawa tanaman mangga itu daripada spesies jarang ditemui,” kata Parihar.
Pasangan Parihar memutuskan untuk meningkatkan keselamatan di kebunnya setelah terdapat cubaan mencuri buah mangga itu pada tahun lalu.
“Kami mempunyai seekor anjing tahun lalu, tetapi sekarang kami mempunyai sembilan ekor anjing, enam German Shepherds dan tiga baka tempatan.”
“Dan kami juga telah mengupah tiga pengawal keselamatan,” jelas Sankalp Parihar.
Sankalp berkata, mereka tidak menjual buah mangga berkenaan walaupun terdapat pembeli yang sanggup membayar Rs21,000 (RM1,174) untuk sebiji buah.
“Sampai sekarang kami belum membuat rancangan untuk menjual,” tambah Sankalp.
Hindustan Times melaporkan pengarah bersama jabatan hortikultur RS Katara Madhya Pradesh memaklumkan buah itu bernilai tinggi dan mahal kerana pengeluarannya yang terhad dan rasanya yang manis.
“Ia kelihatan sangat berbeza. Orang di luar negara memberikan mangga ini sebagai hadiah,” katanya mengenai buah mangga berwarna rubi itu.
Media Jepun pernah melaporkan mangga Miyazaki adalah yang termahal di dunia dan dijual dengan harga Rs270,000 (RM15,100) sekilogram di pasaran antarabangsa pada tahun lalu.