Melakukan pembelian secara dalam talian adalah sesuatu yang biasa buat kebanyakan kita hari ini. Ianya lebih mudah dan terkadang lebih murah jika dibandingkan dengan harga di kedai. Namun, banyak penipu yang menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan wang dengan mudah.
Antara taktik yang digunakan oleh ‘scammer’ ialah dengan menjual barang menggunakan teknik ‘cash on delivery’ iaitu anda hanya perlu melakukan pembayaran selepas barang diterima.
Apa yang dilakukan oleh ‘scammer’ ialah dengan menjual sesuatu barangan seperti gajet, telefon bimbit, komputer riba dan barangan lain pada harga yang sangat murah dan tidak masuk akal.
Mereka kemudian akan mengunakan syarikat penghantaran seperti DHL atau Ninja Van untuk menghantar barangan mereka. Pembeli perlu membayar dahulu sebelum mereka dapat membuka bungkusan mereka dan ketika inilah pembeli akan tahu mereka telah ditipu.
Seorang pembeli menceritakan bahawa dia telah memesan komputer riba skrin sentuh tetapi apabila barang sampai dia hanya mendapat set demo permainan plastik yang digunakan untuk paparan.
Apabila dia berjumpa semula dengan penghantar DHL mereka juga tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka sudah klik pada ‘ Successful Delivered’.
Dia kemudian pergi semula ke halaman di mana dia membeli barangan tersebut dan rupa-rupanya ramai yang telah tertipu dengan penjual tersebut. Apabila komen dibuat oleh orang ramai tentang penipuan mereka, penjual akan memadam komen tersebut selepas tiga atau empat minit dan mereka akan menutup halaman mereka pada hari yang sama.
Walaubagaimanapun, mereka akan membuat ribuan halaman yang baru dan menggunakan iklan di Facebook untuk mencari pelanggan. Mereka juga langsung tidak memberikan nombor atau email untuk dihubungi melainkan email daripada syarikat DPE Logistic iaitu syarikat penghantaran dari China.