Sakit kepala, sakit tekak dan hidung berair kini merupakan gejala paling umum dilaporkan berkaitan dengan jangkitan terbaru COVID-19 di United Kingdom, kata para penyelidik.
Profesor Tim Spector, ketua penyelidik yang menjalankan kajian ‘Zoe Covid Symptom’, berkata individu yang dijangkiti varian Delta merasakan mendapat ‘lebih seperti selesema yang teruk’ untuk orang muda.
Akan tetapi, sungguhpun mereka ini mungkin tidak merasa sangat sakit dan menganggapnya tidak serius, ia masih boleh berjangkit dengan mudah dan membahayakan orang lain terutama kepada golongan berisiko.

Sesiapa yang merasakan mereka mempunyai simptom COVID-19 perlu segera menjalani ujian, nasihat Profesor Spector.
Gejala COVID-19 klasik yang orang lain perlu lihat, menurut NHS adalah batuk, demam dan kehilangan deria bau atau rasa.
Tetapi Profesor Spector mengatakan gejala ini bukan lagi yang biasa, berdasarkan data yang diterima oleh pasukan Zoe daripada ribuan orang yang mencatat gejala mereka menerusi aplikasi.
“Sejak awal Mei, kami telah melihat gejala teratas pada pengguna aplikasi – dan ia tidak sama seperti dulu,” katanya.
Perubahan itu nampaknya berkaitan dengan peningkatan kes varian Delta, yang pertama kali dikenal pasti di India dan kini menyumbang 90 peratus kes COVID-19 di United Kingdom.
Demam tetap biasa berlaku tetapi kehilangan deria bau tidak lagi muncul dalam 10 gejala teratas, kata Profesor Spector.

Adakah seseorang itu selesema biasa atau ia coronavirus?
“Varian ini nampaknya berfungsi dengan sedikit berbeza. Individu dijangkiti mungkin menganggap mereka baru saja mengalami selesema bermusim lalu masih pergi ke pesta, berjumpa orang dan mereka mungkin menyebarkannya kepada enam orang lain,” jelas Profesor Spector.
“Kami fikir ini akan membawa kepada lebih banyak masalah dan kadar jangkitan sukar dikawal,” katanya.
“Mesej di sini adalah sekiranya anda masih muda, gejala yang dialami mungkin lebih ringan. Mungkin terasa seperti selesema yang teruk atau perasaan ‘kurang sedap’ yang lucu – tetapi tolong tetap duduk di rumah dan pergi menjalani ujian,” nasihat Profesor Spector.

Kajian React Imperial College London terhadap lebih daripada satu juta orang di Britain mendapati ketika varian Alpha atau varian UK yang dominan, mereka menemui pelbagai gejala tambahan yang berkaitan dengan COVID-19.
Rasa menggigil, kehilangan selera makan, sakit kepala dan sakit otot sering dikaitkan dengan mereka yang dijangkiti, bersama dengan gejala klasik.
Kerajaan Britain menasihatkan gejala COVID-19 yang paling penting adalah batuk baru yang berterusan, suhu badan yang tinggi, kehilangan atau perubahan deria bau atau rasa.
“Terdapat beberapa gejala lain yang berkaitan dengan COVID-19,” katanya.
“Gejala-gejala lain ini mungkin mempunyai penyebab lain dan bukan alasan mereka sendiri untuk menjalani ujian COVID-19,” tambah Profesor Spector.
“Sekiranya anda bimbang mempunyai gejala-gejala ini, dapatkan nasihat perubatan dan pakar,” sarannya.