Akaun media sosial untuk aplikasi e-dagang China yang terkenal, Xiaohongshu telah disekat setelah mengeluarkan kenyataan mengenai ulang tahun insiden di Dataran Tiananmen pada 1989.
Akaun itu memuat naik, “Beritahu saya : Apa tarikh hari ini?” di platform Weibo. Kenyataan itu yang dikeluarkan buat 14 juta pengikut akaun tersebut kemudian dipadam dengan pantas.
Kenyataan di Weibo itu kemudian telah digantikan dengan pesanan yang mengatakan bahawa akaun itu sedang disiasat atas sebab pelanggaran undang-undang dan peraturan.
Pihak Xiaohongshu masih belum memberikan komen secara terbuka mengenai perkara itu. Sehingga pagi 7 Jun, akaunnya di Weibo tetap terkunci tetapi aplikasi dengan 300 juta pengguna itu masih berfungsi.
Tidak jelas sama ada kenyataan itu merujuk kepada kekerasan yang berlaku di Dataran Tiananmen. Individu yang mengetahui perkara itu memberitahu Wall Street Journal bahawa catatan itu tidak berkaitan dengan ulang tahun.
Xiaohongshu, disokong oleh syarikat internet gergasi China – Alibaba dan Tencent, telah digambarkan sebagai Instagram China dengan e-dagang, kebanyakannya digunakan oleh wanita muda yang tinggal di bandar.
Ia mempunyai nama yang sama dalam bahasa Cina ‘Little Red Book’ – sebagai buku petikan terkenal oleh Mao Zedong, bapa Komunis China.
Xiaohongshu kerap mengemukakan soalan di media sosialnya dan telah memuat naik kenyataan serupa pada hujung minggu lalu.
Ulang tahun insiden di Dataran Tiananmen sangat sensitif di China, dengan parti pemerintah secara berkala menekan usaha peringatan hari tersebut.
Tentera China pada ketika itu bertindak melakukan kekerasan terhadap tunjuk perasaan pro-demokrasi di Beijing pada 4 Jun 1989.
Dianggarkan bahawa jumlah kematian semasa kejadian tersebut mencecah ratusan hingga ribuan nyawa.
Pada 4 Jun lalu, aktivis pro-demokrasi Hong Kong, Chow Hang Tung telah ditangkap kerana mempromosikan perhimpunan yang tidak dibenarkan.
Chow merupakan naib ketua ketua Perikatan Hong Kong yang menganjurkan usaha tahunan bagi mangsa-mangsa tindakan keras berkenaan.