25.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 13, 2022

INSPIRASI ANDA SETIAP HARI

UtamaInspirasiJiran bantu hantar warga emas 90 tahun ke janji temu vaksinasi ekoran...

Jiran bantu hantar warga emas 90 tahun ke janji temu vaksinasi ekoran anak lelakinya tidak dapat berbuat demikian

Seorang lelaki di Kelantan tidak teragak-agak untuk memandu dan mengiringi jirannya yang berusia 90 tahun ke janji temu vaksin COVID-19 setelah dimaklumkan yang anak lelakinya tidak dapat berbuat demikian.

Syed Hassan Syed Bakar memandu pergi dan balik sejauh 90 kilometer dari Rantau Panjang ke Kubang Kerian dengan jirannya yang sudah berusia 90 tahun, Gan Giok Hiang, demi memastikan yang warga emas ini mendapat vaksinasi.

Lelaki berusia 60 tahun itu memberitahu New Straits Times yang beliau dimaklumkan anak lelaki Gan tidak dapat membawanya ke janji temu vaksinasi COVID-19 di PPV Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Universiti Sains Malaysia kerana anaknya itu tinggal di Kota Bharu dan tidak dapat merentas daerah.

New Straits Times

“Saya secara sukarela melakukannya. Saya memandu sejauh 45 kilometer, bermula dari Rantau Panjang pada pukul 9.30 pagi dan kami sampai di pusat vaksinasi sekitar jam 11 pagi,” kata Syed Hassan.

Syed Hassan berkata, Gan memerlukan kerusi roda untuk bergerak, jadi sukar bagi anak saudara perempuannya, Lim Mik Way yang berusia 79 tahun untuk membawanya bersendirian.

Oleh itu, lelaki yang baik hati ini menemani kedua-dua wanita itu ke janji temu mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di PPV itu.

“Ini bukan perkara baru bagi saya kerana saya pernah membawa mereka ke janji temu di hospital mereka sebelum ini,” jelas Syed Hassan.

Beliau menambah kakaknya telah membantu Gan membuat pendaftaran vaksinasi COVID-19 di aplikasi MySejahtera pada dua minggu sebelumnya, dan mengingatkannya untuk membawa Gan ke janji temu pada hari itu.

“Kakak saya memasukkan nombor telefonnya kerana Gan tidak mempunyai telefon pintar, dan juga lebih mudah bagi sesiapa untuk menghubungi kami mengenai tarikh janji temu vaksinasi,” katanya.

Syed Hassan menambah mereka telah lama berjiran dan mesra, jadi beliau tidak mempunyai apa-apa masalah dan tidak berfikir dua kali untuk saling bantu-membantu.

Harian Metro

“Saya mengenali mereka berdua sejak kecil. Setiap kali memerlukan pertolongan, salah seorang antara mereka akan menghubungi saya,” katanya.

Syed Hassan menambah proses vaksinasi berjalan dengan cepat dan lancar, jadi mereka tidak perlu menunggu lama kerana kedua-duanya berada dalam kumpulan berisiko tinggi.

Sementara itu, walaupun nenek Gan pada awalnya merasa cemas dan gugup kerana mempunyai tekanan darah tinggi, beliau berkata tidak mengalami sebarang kesan sampingan segera setelah menerima suntikan dos pertama dan menyarankan semua warga emas serta rakyat Malaysia untuk mengambil vaksinasi COVID-19 juga.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

TREN TERKINI