Kucing adalah haiwan peliharaan yang sangat manja dan gemar dibelai. Berbeza dengan haiwan lain seperti anjing yang pintar dan pandai menurut arahan, kucing adalah spesies yang suka seandainya dilayan bagai menatang minyak yang penuh.
Penggemar kucing memang suka memeluk dan memanjakan kucing. Tetapi adakalanya, teknik yang salah boleh menyebabkan badan anda luka akibat dicakar. Justeru, perkongsian video dari laman TikTok ini akan mengajar anda tentang cara yang tepat untuk memegang dan mengangkat kucing.
Dikenali sebagai @salehatulkhuzaimah_teh_vet, doktor haiwan ini telah berkongsi video berdurasi 1 minit tentang kaedah sebenar untuk memegang dan mengangkat kucing kesayangan anda. Namun, kaedah ini tidak semestinya sesuai untuk setiap jenis kucing memandangkan bukan semua kucing gemar untuk dipegang, dipeluk mahupun didukung.
Cara pertama, untuk mengangkat kucing, anda hendaklah meletakkan tangan pada bahagian dada kucing dan bukan perutnya. Fungsi tangan di dada itu adalah untuk menyokong berat kucing sekali gus memberikan keselesaan.
Cara kedua pula adalah mengangkat seperti memegang bola. Cara ini memerlukan kedua-dua belah tangan untuk memegang bahagian dada dan juga ekornya.
Seterusnya adalah cara yang hanya digalakkan untuk kucing kecil dan bukannya kucing dewasa. Cara ini juga sesuai dilakukan untuk jangka masa pendek sahaja. Caranya adalah dengan merangkul bahagian tengkuk dan menyokong berat kucing di bahagian bawah.
Cara terakhir dipanggil sebagai ‘shoulder cat’ di mana kucing akan diletakkan pada bahu anda dan tangan anda akan berfungsi untuk menyokong bahagian belakang kucing.
Lepas tonton video ini, pasti ada yang terus bereksperimen dengan kucing masing-masing bukan? Selamat mencuba!