Alam ini memang banyak rahsia dan magis yang tersendiri. Banyak kejadian-kejadian yang tidak dijangka dan di luar logik akal berlaku di sekeliling. Namun, apa yang pasti setiap yang berlaku pastinya punya keajaiban tersendiri.
Baru-baru ini berlaku sebuah lagi keajaiban alam berlaku dan kali ini kejadian luar biasa itu terjadi di Jogjakarta, Indonesia. Apa yang berlaku ialah berlakunya lintasan meteor yang memasuki atmosfera dan terhempas gunung berapi Merapi di sana.
Video tersebut kemudian dimuat naik dan dikongsikan di laman Twitter oleh akaun @JogjaUpdate.
Rakaman tersebut dikatakan telah dirakam pada hari Khamis, 27 Mei 2021, melalui kamera litar tertutup (CCTV) oleh Megadata, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan internet di Indonesia yang berlokasi di Kalitengah Kidul, Jogjakarta yang merupakan lokasi terletaknya Gunung Merapi.
Walaupun rakaman CCTV agak kabur, orang ramai masih dapat melihat dengan jelas seolah-olah ada melihat sebiji bola cahaya yang memasuki atmosfera dan melintasi tepat di atas puncak gunung berapi Merapi sebelum terhempas puncak gunung tersebut.
Semasa kejadian itu berlaku terdapat seorang warga Indonesia bernama Gunarto Song yang secara kebetulan berjaya mengambil gambar Gunung Merapi dan benar-benar menangkap imej meteor yang ‘jatuh’ dari langit.
Ketika ditemu ramah oleh portal berita Indonesia kumparan, Gunarto, mengatakan bahawa dia mengambil gambar dari lokasi di Batu Alien di daerah Kaliadem Cangkringan sekitar jam 11.07 malam pada Khamis lalu.
Selain itu, dia juga telah berusaha mengambil gambar lava Gunung Merapi dengan pemandangan matahari terbit dan terbenam sejak Februari tahun ini dan pada hari tersebut dia cuba untuk mengambil gambar Gunung Merapi yang berlatar belakangkan bulan purnama.
Manurut Gunarto tiba-tiba terdapat sinar cahaya yang terang seolah-olah jatuh dari atas ke puncak Gunung Merapi. Kejadian tersebut sangat terang dan pantas berlaku.
Dalam budaya dan mitologi Jawa, Gunung Merapi dianggap sebagai tempat suci, terutama dalam kalangan mereka yang tinggal di sekitar kawasan itu.