Seorang pegawai perubatan baru-baru ini meluahkan kekecewaan apabila pesakitnya yang sedang hamil diuji positif dengan COVID-19 kerana gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya jarang berkongsi apa yang berlaku ketika kerja namun hari ini saya rasa sangat kecewa dan letih. Jururawat mengambil foto ini pada jam 4 pagi semasa kami menunggu bayi dilahirkan”.
“Inilah saya”, tulis doktor itu yang dikenali sebagai Dr Tasha itu di laman Facebooknya.
Menurutnya, tugas dan tanggungjawabnya serta staf yang lain pada hari tersebut amat sibuk. Ini kerana mereka bekerja tanpa rehat sejak jam 8 pagi pada hari sebelumnya. Bayangkanlah..
Kemudian pada jam 3 pagi, mereka menerima panggilan meminta agar mereka bersedia untuk kelahiran bayi secara pembedahan caesarean.
Tambahnya lagi, apabila pesakit perlu menjalani pembedahan tersebut, seramai 10-15 orang doktor dan staf diperlukan di bilik bedah bagi memastikan kelancaran prosedur berkenaan.
Mereka sememangnya tidak begitu senang apabila pembedahan perlu dilakukan di awal pagi seperti itu memandangkan bilangan kakitangan yang tidak mencukupi.
Ternyata panggilan itu sangat memberi tekanan buatnya dan staf lain. Kelahiran secara pembedahan hanya diperlukan jika terdapat komplikasi – bayi dalam keadaan tertekan ataupun ibunya tidak sihat.
Jika situasi itu berlaku, maka mereka perlu bersiap sedia untuk melakukan pembedahan tidak kira waktu.
Amat mengecewakan apabila punca pembedahan itu perlu dilakukan adalah kerana si ibu berkemungkinan positif COVID-19, dan bukannya atas faktor kesihatan lain.
Apabila ditanya bagaimana jangkitan berlaku, si ibu mengatakan bahawa dia ada melakukan aktiviti kunjung-mengunjung dan ziarah semasa Hari Raya di rumah saudaranya.
Menurut Dr Tasha, pengalaman kelahiran akan berubah sepenuhnya jika positif COVID-19. Malah bayi juga perlu diasingkan daripada ibu sebaik sahaja lahir.
Selain itu, bayi turut terpaksa menjalani beberapa ujian dan calitan beberapa jam selepas dilahirkan.
Keadaan sebegini ternyata membuatkan para petugas kesihatan berasa letih, seakan mereka sahaja yang ‘berperang’ melawan COVID-19 tanpa kerjasama daripada orang ramai.
Kesihatan fizikal dan mental mereka juga perlu diambil kira. Jangan hanya pentingkan diri sendiri sahaja.
“Kami tidak boleh lakukannya sendiri. Kita akan gagal jika anda semua tidak memainkan peranan. Saya rayu anda untuk lakukan tanggungjawab anda”.
Sedar dan bangkitlah daripada ‘lena’ wahai rakyat Malaysia. Kita perlu berganding bahu untuk memenangi peperangan ini. Patuhilah SOP!